Berita

Kerk Kim Hock; perjuanganmu akan dikenang selamanya!

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Pemergian mantan Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock akibat barah yang dideritai sejak 15 tahun lalu menjadi titik tolak kepada parti meneruskan legasi perjuangan yang ditinggalkan.

Dikenal memiliki peribadi yang sederhana, berprinsip dan setia; majlis Malam Kenangan Sdr Kerk Kim Hock yang berlangsung malam tadi mengimbau liku-liku perjuangan yang dihadapi Kerk sewaktu mengemudi DAP di saat berhadapan dengan waktu yang sangat mencabar.

Majlis dimulakan dengan sesi tafakur sebelum tayangan video biografi menceritakan sejarah penglibatan awal Kerk dalam arena politik tanah air.

Selain itu, hadirin juga berpeluang melihat beberapa dokumen penting dan barangan peribadi milik Kerk yang dipamerkan.

Ketika berucap, Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata, prinsip yang menjadi pegangan mendiang sewaktu parti berhadapan dengan cabaran menjadikan DAP semakin kukuh.

“Kerk Kim Hock merupakan seorang yang sangat berprinsip.

“Lama saya bekerja dengannya, apa yang boleh saya simpulkan, beliau merupakan seorang yanag sangat bertanggungjawab, bijak, rajin dan sanagt bertimbangrasa.

“DAP telah melalui banyak cabaran sepanjang penubuhan parti oleh kerajaan Barisan Nasional yang menindas, namun, dengan pemimpin seperti Kerk Kim Hock, kami telah berjaya menghadapi segala rintangan untuk menyelamatkan negara ini,” kata Kok Wai.

Naib Presiden DAP, Teresak Kok pula melahirkan rasa sedikit janggal setelah mendiang meninggal dunia.

“Beliau merupakan antara senarai lima orang yang saling berhubung setiap hari. Ada masanya beliau ucapkan selamat pagi dan mohon mendoakan dirinya yang dengan barah.

“Bila sudah tiada, saya rasa sebuah kehilangan, janggal, saya amat sedih. Kerk Kim Hok merupakan sahabat yang baik,” kata Teresa.

Turut menyampaikan ucapannya ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kula Segaran; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Lim Kit siang ketika berucap turut mengumumkan anak lelaki kepada mendiang Kerk Kim Hock iaitu Kerk Chee Yee, 25, sebagai setiausah politiknya.

Hadir sama memberikan penghormatan ialah Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said dengan membacakan puisinya berjudul Tetamu Senja.

“Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja, bila cukup detik kembalilah kita kepadanya. Kita datang ini kosong tangan dada, bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

“Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang, bawalah bakti mesra kepada tuhan kepada insan; Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang, usahlah derhaka pula pada tuhan kepada insan…”, ungkap Pak Samad.

Majlis Malam Kenangan Sdr Kerk Kim Hock diakhiri dengan simbolik meletakkan bunga sebagai tanda penghormatan kepada mendiang diiringi nyanyian koir dan muzik.

Selamat jalan saudara Kerk, perjuangan dan jasamu akan dikenang selamanya! –Roketkini.com