Berita

Tubuh RCI Memali untuk cari kebenaran, bukan alat politik – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Cadangan penubuhan suruhanjaya bebas menyiasat tragedi berdarah  Memali bukanlah perkara baru dan ianya perlu untuk mendapatkan keadilan, bukannya dijadikan alat bagi memenuhi agenda parti politik tertentu.

“Pada 32 tahun lalu, saya telah mendesak kerajaan supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan menyiasat tragedi Memali – ianya bukan masalah orang Melayu atau Islam; mahupun isu antara UMNO dan PAS, tetapi masalah rakyat Malaysia yang perlu ditangani secara adil dan non-partisan,” kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan cadangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam sebelum ini supaya Suruhanjaya Siasaran Di-Raja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah yang itu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Musa, penubuhan RCI selepas PRU14 bertujuan agar ia tidak disalahguna pihak tertentu bagi kepentingan politik mereta.

Dalam masa yang sama kerajaan tidak perlu tergesa-gesa menubuhkan RCI itu memandangkan insiden tersebut telah berlaku lebih tiga dekad lalu.

“Perlu pilih masa yang sesuai untuk tubuhkan (RCI) dan mengikuti prosiding untuk pastikan penubuhannya mencapai tujuan dan bukan menjadi sekadar agenda politik jangka masa singkat.

“Bagi saya, tidak ada masalah untuk tubuhkannya asalkan ia dilakukan dengan niat yang betul untuk mencari kebenaran dan keadilan tanpa sebarang prejudis dan dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan undang-undang negara,” kata Musa. –Roketkini.com