KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Siapa sangka, sepanjang lebih 50 tahun kerjaya politik Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, beliau telah melantik hampir dua puluh orang setiausaha politik.
Kit Siang mengumumkan pelantikan Kerk Chee Yee, anak lelaki kepada mendiang Kerk Kim Hock sebagai Setiausaha Politiknya yang baharu, pada majlis memperingati mendiang Kerk di sini kelmarin.
Anak muda berusia 25 tahun lulusan University of Melbourne itu mengikut jejak langkah mendiang ayahnya yang dilantik sebagai setiausaha politik Kit Siang pada tahun 1986.
Mendiang Kerk merupakan setiausaha politik keempat pemimpin veteran terbabit, mengambil alih daripada Allahyarham Fadzlan Yahya yang dilantik pada tahun 1980, menggantikan mendiang P. Patto; orang pertama yang diberi jawatan tersebut pada tahun 1973.
Ia kemudian diambil alih Chow Kon Yeow, kini Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Teresa Kok, kini Ahli Parlimen Seputeh; dan Datuk Teng Chang Khim, Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Buat sementara, jawatan tersebut juga pernah diisi Foo Yueh Chuan, yang kini mengetuai operasi Ibu Pejabat Kebangsaan.
Beliau disusuli Dr Hew Kuan Yew, atau lebih dikenali dengan julukan ‘Superman’; penceramah DAP yang dikenali ramai.
Hew diganti oleh Ean Yong Hian Wah, kini Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Sebelum pilihanraya umum Mei 2013, anak kepada mendiang P. Patto, Kasturi Patto dilantik ke jawatan tersebut, sebelum beliau bertanding dan menang di kerusi Parlimen Batu Kawan.
Selepas Kasthuri, jawatan tersebut diisi pula oleh Dyana Sofya Mohd Daud sebelum beliau dihantar bertanding di pilihanraya kecil Teluk Intan, dan kemudian dilepaskan setelah melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Kekosongan tersebut kini diisi oleh Kerk Chee Yee.
Dalam ucapannya semalam, Kit Siang berkata, mendiang Kerk Kim Hock adalah setiausaha politiknya yang terbaik.
“Dan saya ada ramai setiausaha politik,” ujarnya sebelum mengumumkan pelantikan Chee Yee.
“Ini kali pertama saya mempunyai pasangan ayah dan anak lelakinya sebagai sebagai setiausaha politik saya,” sambil menambah bahawa pelantikan Chee Yee adalah simbolik anak muda Malaysia menjadi penyambung mata rantai perjuangan ke arah perubahan.
Belajar dari Kit Siang
Diwawancara Roketkini, Ketua Staf Ibu Pejabat DAP, Foo Yueh Chuan berkata, hampir semua yang dilantik sebagai setiausaha politik Kit Siang semuanya dipersiapkan untuk menjadi calon pilihanraya.
“Dahulu DAP tidak ada banyak sumber untuk menggaji birokrat, dan tidak ramai yang sanggup menyertai parti serta menjadi calon kerana DAP hanyalah parti pembangkang yang kecil dan tiada peluang menjadi kerajaan.
“Lantikan sebegini adalah cara untuk parti melatih kadernya,” jelas beliau.
“Mereka uruskan soal organisasi, publisiti, terjemahan kenyataan, ceramah, mendampingi media supaya DAP mendapat lebih banyak liputan, meluaskan rangkaian keahlian, dan macam-macam lagi,” tambah beliau lagi.
Menurutnya juga, ramai dari kalangan setiausaha Kit Siang yang memperolehi kemahiran analisis politik hasil menterjemah kenyataan media beliau yang memberi respon kepada setiap satu isu negara sejak 1960’an sehingga sekarang.
“Kenyataan-kenyataan lama Kit Siang bagaimana ensiklopedia politik Malaysia. Ini diberitahu seorang penyelidik dari Korea yang melawat ibu pejabat pada tahun 90’an.
“Beliau menyifatkan arkib kenyataan media Kit Siang seperti harta karun,” ujar Foo.
Pada usia 76 tahun, Lim Kit Siang menulis dan mengeluarkan kenyataan medianya sendiri setiap hari, sehingga mencecah tiga atau empat kenyataan dalam satu hari.
Selain demikian ramai setiausaha politik, Kit Siang juga pernah melantik pembantu-pembantu khas bagi menguruskan penterjemahan kenyataannya, termasuk Adun Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong, dan Adun Canning, Wong Kah Woh. – Roketkini.com