Rencana

Amalgamasi: Bersediakah Malaysia?

Baru-baru ini isu melibatkan pengasingan cawan antara pelajar Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah telah menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian sebahagian ahli masyarakat. Kesedaran terhadap isu ini menunjukkan bahawa terdapat rakyat Malaysia yang masih mengambil berat terhadap isu-isu yang membabitkan perpaduan di negara yang kita cintai ini. Menjelang Hari Kebangsaan yang ke-60 pada tahun ini, sedarkah kita bahawa tahap kesepaduan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum semakin terhakis?

Sekiranya kita menonton sebuah filem bertajuk ‘The Hidden Figures’ yang ditayangkan pada awal tahun 2017, kita dapat melihat bagaimana segregasi antara mereka yang berkulit putih dan berkulit hitam di Amerika Syarikat pada tahun sekitar 1960-an telah menyebabkan negara tersebut ketinggalan kepada Kesatuan Soviet dalam ilmu sains angkasa. Keadaan di sana lebih menyedihkan lagi apabila salah satu babak di dalam filem tersebut memaparkan pengasingan tandas yang digunakan oleh kedua-dua kumpulan terbabit juga wujud semasa era 1960-an dek kerana mereka yang berkulit putih merasakan mereka lebih gah dibandingkan dengan mereka yang berkulit hitam dalam semua aspek kehidupan. Situasi sama turut berlaku ketika zaman Apartheid di Afrika Selatan di mana diskriminasi berdasarkan warna kulit mengambil tempat di sana sebelum polisi tersebut dihapuskan pada tahun 1991.

Apa yang penulis ingin jelaskan melalui situasi ini adalah perbezaan kaum, agama, warna kulit dan gender tidak harus dijadikan alasan untuk kita berpecah dalam membina sebuah negara yang makmur dan hebat di mata dunia. Selagi mana kita bergelar rakyat di sesebuah negara, kita bertanggungjawab untuk memastikan setiap daripada kita menyumbang sesuatu kepada negara. Perpecahan tidak akan menguntungkan bahkan ia hanya mendatangkan kerugian kepada negara. Ajaran Islam juga menggalakkan perpaduan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Surah Al-Hujurat ayat 13 dan Surah Ar-Rum ayat 22.

Sebuah istilah di dalam ilmu Perhubungan Etnik menarik minat penulis untuk diketengahkan iaitu amalgamasi. Ia merupakan satu proses di mana budaya setiap kumpulan masyarakat bercampur dan membentuk sebuah identiti budaya atau ras yang baru. Formula mudah untuk memahami konsep ini adalah A+B+C= D, di mana A, B dan C adalah kumpulan etnik berbeza yang bergabung untuk membentuk sebuah identiti baru bergelar D. Konsep amalgamasi adalah kesepaduan sosial yang paling tinggi mampu dicapai oleh masyarakat di sesebuah negara. Namun, kesediaan untuk meninggalkan adat resam dan budaya asal kumpulan masyarakat tersebut merupakan satu cabaran dalam merealisasikan proses ini untuk berlaku.

Dalam konteks Malaysia, konsep ini boleh difahami dengan mudah apabila setiap kaum seperti Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain bergabung membentuk sebuah identiti masyarakat yang menggelar diri mereka sebagai ‘Malaysian’ atau rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, mampukah rakyat di negara ini menolak tepi segala perbezaan dan berkorban bersama serta menggembleng tenaga memajukan negara tercinta ini? Selagi mana stereotaip yang memberi gambaran negatif terhadap sesebuah kaum dan agama tersebar meluas di kalangan ahli masyarakat, selagi itulah masalah dalam memupuk perpaduan kaum sukar untuk diatasi.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) merupakan sebuah parti yang meraikan kepelbagaiaan kaum dan agama walaupun parti ini sering terpalit dengan isu-isu berkaitan Ketuanan Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagainya. DAP adalah sebuah parti yang boleh dijadikan model untuk kita melihat bagaimana proses amalgamasi berlaku apabila setiap ahlinya menghormati adat resam dan kepercayaan yang diamalkan serta cuba memahami perbezaan antara mereka. Mereka juga bersatu padu dalam isu-isu di peringkat nasional dan boleh dikatakan berkongsi aspirasi yang sama iaitu kearah Malaysia yang lebih baik. Penulis tertarik dengan ungkapan yang sering digunakan oleh YB Saudara Tey Kok Kiew, Pengerusi DAP Melaka dalam setiap siri ceramah beliau iaitu, “Marilah kita bersatu padu, berganding bahu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk memastikan Malaysia ini menjadi lebih baik pada masa akan datang”.

Cabaran Pertama Wawasan 2020 adalah mewujudkan sebuah negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keadaan harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Tahun 2020 semakin hampir dan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun tersebut amatlah diragui memandangkan cabaran pertama berkaitan perpaduan masih sukar diatasi. Namun, persoalan yang bermain di fikiran penulis, bersediakah kita rakyat Malaysia beramalgamasi serta menolak tepi segala perbezaan identiti bagi mencapai kemajuan yang kita inginkan selari dengan matlamat asal kewujudan Wawasan 2020?

*Zai adalah seorang Muslim yang mencintai Malaysian Malaysia