Rencana

Johor: Berakhirnya era MCA dan BN

Johor merupakan kubu kuat MCA sehingga 2008. Negeri itu melahirkan beberapa presiden MCA – Lee San Choon, Neo Yee Pan, Ling Liong Sik, Ong Ka Ting dan Chua Soi Lek. Liong Sik meninggalkan kerusi berisiko di Pulau Pinang (dulu Mata Kuching, kini Bagan) untuk kerusi selamat di Johor manakala Ka Ting berasal dari Perak sebelum berpindah ke Johor. Ketika tsunami politik melanda pada 2008, MCA masih boleh dianggap mempunyai rekod pilihanraya yang agak baik di Johor. Hanya pada pilihanraya umum 2013 MCA hampir dikuburkan.

Kekuatan MCA di Johor jika dibandingkan di negeri lain bergantung kepada tiga faktor utama.

Pertama, ekonomi kebanyakan pekan kecil di Johor bergantung kepada pertanian dan perladangan, dan selalunya lebih lebih dipengaruhi politik berbanding kelas pekerja di kawasan bandar.

Kedua, parti Barisan Nasional di Johor, terutama UMNO, MCA dan MIC bukan sekadar parti politik. Mereka juga memerintah dengan mendapat sokongan daripada golongan elit penduduk di pekan-pekan kecil. Dalam kes UMNO, guru, aktivis budaya dan seniman, mahupun penjawat awam, meletakkan kepercayaan mereka kepada UMNO. Di peringkat tempatan, UMNO adalah organisasi sosial yang rapat dengan akar umbi. Mereka merupakan orang pertama yang yang akan tiba di tanah perkuburan untuk membantu keluarga jenazah atau mendiang.

Bagi MCA pula, selepas 2013 sekalipun, pemimpin tempatannya masih menguasai pertubuhan dan persatuan, dengan peniaga-peniaga generasi tua di pekan kecil menyokong MCA, ataupun sekadar tidak bersedia menentang MCA secara terbuka. Bagaimanapun, semua ini perlahan-lahan terkikis apabila generasi muda yang bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura tidak tertarik kepada MCA dan Barisan Nasional. Malah sesetengah mereka berjaya meyakinkan generasi lebih tua di kampung halaman untuk tidak mengundi BN.

Ketiga, kebanyakan kerusi di Johor dimanipulasi melalui proses persempadanan semula pada 1993. Ditambah dengan proses yang sama pada 2013 yang melibatkan kawasan pilihanraya pengundi berbilang kaum, ia memustahilkan pembangkang yang terpecah-belah menang sebelum 2008. Kini situasi yang dicipta BN itu memudaratkan mereka sendiri kerana kerusi-kerusi ini dengan mudah boleh terjadi jatuhan domino yang akan menyebabkan kekalahan BN. Lapan belas daripada 26 kerusi parlimen Johor mempunyai kurang daripada 60 peratus pengundi Melayu. Dengan 80 peratus sokongan bukan Melayu dan 50 peratus sokongan Melayu, kesemua 18 kerusi ini dijangka akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan.

Suasana untuk perubahan

Suasana beberapa majlis kutipan derma DAP yang saya hadiri bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di Johor beberapa minggu kebelakangan ini seperti pengukur situasi dalam pilihanraya akan datang. Ia mencerminkan pola pengundi bukan Melayu, terutama pengundi kaum Cina.

Pekan Nanas adalah kawasan separa bandar tidak jauh dari Pontian, dengan kebanyakan generasi mudanya bekerja di Johor Bahru atau Singapura. Hadirin di 80 meja makan malam kutipan derma anjuran DAP pada 11 Ogos lalu begitu bersemangat sehingga keberatan untuk pulang meskipun majlis sudah tamat. Penghujung malam itu, ketika kami berdiri di pintu untuk mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal, ramai datang mengulurkan salam dan kata-kata semangat seperti “Terima kasih! Kami bersedia untuk kerajaan baru.”

Kita dapat merasakan suasana sedang berubah, terutama di kawasan separa bandar. Minggu sebelumnya, di Muar, DAP Grisek menganjurkan acara politik paling besar dalam sejarah kawasan itu pada 5 Ogos yang menarik lebih daripada 1,100 hadirin. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh berucap kepada hadirin yang mengalu-alukan kedatangan beliau. Hadirin berdiri dan memberi tepukan gemuruh sebelum mendengar ucapan dengan penuh perhatian.

Pekan Nanas, Grisek dan kawasan pilihanraya saya di Kluang merupakan kawasan separa bandar. Kerusi-kerusi seperti ini yang akan menjadi kunci untuk Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum akan datang.

DAP bukan parti kaya. Majlis makan malam kutipan derma kami dibayar oleh penyokong yang bekerja keras. Di kawasan bandar, kebanyakan mereka adalah golongan kelas pekerja, peniaga gerai, bekerja sendiri; manakala di kawasan separa bandar dan pedalaman, mereka terdiri daripada pengusaha kedai runcit, selain penduduk setempat yang bekerja di sektor perladangan atau pertanian. Tidak seperti BN, kami tidak mempunyai dana besar atau organisasi media. Menganjurkan acara makan malam seperti itu merupakan salah satu cara kami mengutip sumbangan dan menghebahkan idea-idea kami, selain bertujuan untuk merasakan sendiri situasi di akar umbi.

Sumbangan seperti ini selalunya merupakan kayu ukur untuk sokongan yang diterima. Ia juga cara berkesan untuk berinteraksi dengan rakyat selain dapat memahami masalah yang wujud di kawasan itu. Pada majlis makan malam kutipan derma yang dianjurkan bersama oleh DAP Kluang dan Bersatu pada 29 Julai lalu, tiket habis dijual dengan cepat, antara lain kerana Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan untuk berucap meskipun beliau tidak dapat hadir hari itu atas faktor kesihatan.

Pada 11 Ogos, kami mengutip RM25,000 dari “kutipan lantai” untuk 136 meja makan malam di Johor Jaya, dua kali ganda lebih banyak daripada yang selalunya kami kutip dalam acara seumpamanya. “Kutipan lantai” adalah derma yang dikumpulkan ketika acara berlangsung, selain tiket yang perlu dibayar untuk menghadiri majlis makan malam kutipan derma itu. Suasana sangat menggalakkan dan hadirin seperti sudah bersedia untuk pilihanraya umum akan datang.

Sentimen pengundi Cina

Selepas keputusan pilihanraya umum ke-13 diketahui, kebanyakan pengundi berasa marah, namun masih menyimpan harapan. Beberapa peristiwa mendorong sentimen ini. Ketika banjir besar di Kelantan, sambutan terhadap usaha DAP Johor membantu mangsa banjir begitu menggalakkan. Manakala Himpunan Bersih 4 pada 30 dan 31 Ogos 2015 pulamenyaksikan penyertaan ramai pengundi Cina. Saya berjenaka bahawa sangat jarang untuk melihat orang Cina tidur di pinggir jalan menghadiri protes yang diadakan dalam bulan perayaan Hantu Cina. Ia menunjukkan tekad mereka untuk perubahan.

Semangat pengundi Cina bagaimanapun mula memudar selepas keputusan mengecewakan dalam pilihanraya negeri Sarawak dan pilihanraya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016. Ketika itu kemungkinan untuk melihat pertukaran kerajaan semakin tipis dan pengundi Cina kecewa dengan senario politik.

Hanya pada 14 Julai suasana berubah setelah pengumuman rasmi struktur pimpinan Pakatan Harapan dan berakhirnya dua dekad perseteruan politik antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir serta penyokong kedua-duanya yang berbaik semula untuk menyelamatkan negara.

Perubahan pengundi Melayu

Parti-parti Pakatan Rakyat, terutama DAP, meraih hampir 85 peratus sokongan pengundi Cina pada PRU13. Prestasi itu semestinya sesuatu yang susah untuk dicapai sekali lagi. Ketika saya diwawancara oleh Edge Weekly pada Jun lalu, saya katakan bahawa pembangkang kini mempunyai 65 peratus sokongan pengundi Cina. Pemimpin MCA dan BN dengan mudah menterjemah kenyataan saya bahawa BN mendapat 35 peratus undi Cina dalam poket. Saya hanya boleh ketawa pada keterdesakan seperti itu.

Ketika pilihan raya kecil berkembar Kuala Kangsar dan Sungai Besar, parti majoriti Melayu, Amanah, sebagai parti baru mewakili Pakatan Harapan menerima 65 peratus sokongan pengundi Cina. Kedua-dua kerusi itu terletak di kawasan separa bandar yang merangkumi kawasan pertanian dan perladangan, terletak di pinggir bandar-bandar besar, yang bererti lebih terpengaruh dengan politik.

Ini bererti undi untuk Pakatan Harapan di kalangan pengundi Cina berada pada tahap 65 peratus. Berbanding undi yang diraih pada pilihanraya umum sebelumnya, Pakatan Harapan perlu meyakinkan 20 peratus lagi pertukaran undi (swing) untuk mengulangi pencapaian pada 2013.

Siapakah pengundi-pengundi yang membuat pertukaran undi (swing) ini? Bagaimana untuk meyakinkan mereka untuk mengundi pakatan Harapan? Mereka adalah golongan yang hanya akan mengundi Pakatan Harapan jika mereka dapat rasa kemungkinan kekalahan Barisan Nasional dan pertukaran kerajaan.

Persis seperti inilah bagaimana pilihanraya seterusnya akan berlangsung: pertukaran pola undi besar-besaran di kalangan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan seiring dengan pengundi Cina dan India. Dalam kata mudah, tsunami Melayu melawan UMNO akan menghasilkan tsunami rakyat Malaysia menjatuhkan Barisan Nasional.

Selepas penubuhan Pakatan Harapan pada 14 Julai 2017, bukan hanya suasana di kalangan pengundi Cina yang berubah tetapi juga suasana politik seluruh negara. Kini Pakatan Harapan mempunyai peluang lebih cerah untuk menang dalam pilihanraya akan datang.

Perdana Menteri Najib Razak sedang dalam keadaan cemas ekoran populariti UMNO-BN yang semakin jatuh. Dalam situasi terdesak, mereka akan menggunakan taktik perkauman seperti yang dilakukan oleh Zahid Hamidi dengan cercaan “Mahathir a/l Iskandar Kutty” yang ternyata gagal.

MCA tidak relevan

Johor Jaya adalah salah satu kerusi DAP Johor yang dimenangi dengan majoriti kecil dan ia berada di bawah parlimen Pasir Gudang yang juga dimenangi dengan majoriti kecil. Selain Pasir Gudang, tiga kerusi lain seumpamanya adalah Bentong Bentong (Pahang), Kuala Selangor (Selangor) dan Labis (Johor).

Pada majlis makan malam kutipan derma di Johor Jaya, saya memberitahu hadirin bahawa saya sudah bosan bercakap tentang MCA. Ada tiga sebab utama kenapa MCA tidak relevan dengan senario politik semasa, dan kesemuanya mempunyai kaitan dengan tuduhan liar dan tidak berasas mereka:

  1. MCA menuduh DAP tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan. Sedangkan, ahli majlis dilantik oleh BN dan BN merupakan kerajaan tempatan, bukannya DAP. Untuk mendapat kuasa eksekutif bagi menyelesaikan isu seperti perancangan perlu menang di peringkat negeri dan persekutuan. Sesetengah pengundi mungkin tidak sedar perbezaan antara kerajaan tempatan, kerajaan negeri, dan kerajaan persekutuan. Tapi kebanyakan orang tahu tuduhan MCA tidak berasas dan merupakan percubaan memperdaya pengundi.
  2. MCA masih menuduh DAP bekerjasama dengan PAS ketika semua orang sudah tahu bahawa PAS kini merupakan sekutu UMNO
  3. MCA mengkritik DAP bekerjasama dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin. Fokus Pakatan Harapan adalah menjatuhkan kerajaan rasuah BN. Namun MCA secara terbuka mempertahankan kepimpinan Najib dan kerajaan BN yang kini dikenali di peringkat antarabangsa sebagai kleptoktratik. MCA tidak boleh cuci tangan dari dosa rakan sekutunya.

Rakyat Malaysia lebih rela menerima Anwar dan Mahathir berbaik semula untuk menyelamatkan negara. Semakin kuat serangan peribadi BN terhadap Mahathir, semakin banyak simpati dan sokongan kepada beliau.

Beberapa bulan seterusnya merupakan waktu yang kritikal untuk sejarah politik Malaysia. Johor akan menjadi medan tempur paling penting dalam pilihan raya akan datang. DAP akan bekerja keras bersama rakan sekutu dalam Pakatan Harapan. Kami sangat terhutang budi kepada penyokong yang meletakkan kepercayaan mereka, dan kami akan terus meletakkan harapan di masa depan.

*Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang.