Berita

PKR boleh hilang sokongan jika mahu kerjasama dengan PAS

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali diingatkan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan melakukan sebarang perbincangan berhubung pembahagian kerusi dengan pihak PAS.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, sepertimana PKR berhak untuk meneruskan perbincangan dengan PAS, begitu juga dengan HARAPAN yang berhak untuk menolak sebarang cadangan yang diputuskan PKR mengenai kerjasama dengan parti Islam itu.

“Jika PKR berkeras untuk terus berunding pembahagian kerusi dengan PAS, parti itu boleh memberikan sebahagian kerusinya kepada PAS kerana itu adalah hak PKR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Dan jika perkara itu berlaku, HARAPAN tidak akan membantu untuk berkempen bagi kerusi-kerusi yang secara tradisi ditandingi PKR tetapi diberikan kepada PAS untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang.”

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media, minggu lepas yang menyatakan bahawa Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, sedang mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan PAS bagi menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

Pun begitu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali yang juga bekas orang kuat Dewan Ulama PAS Pusat seperti dilaporkan media semalam menegaskan bahawa tidak ada sebarang rundingan kerjasama yang berlaku antara PAS dan PKR.

“Tak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik […] termasuk atas nama individu sekalipun, selagi ia membawa imej Pakatan Harapan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, calon-calon PKR boleh kehilangan sokongan pengundi Islam moderat dan Kristian di Sabah dan Sarawak yang sememangnya tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut.

“Jika PKR kalah di kerusi-kerusi berkenaan, parti itu tidak boleh menyalahkan parti komponen HARAPAN kerana tidak membantu untuk berkempen bagi calon PKR kerana HARAPAN juga tidak bersetuju dengan kerjasama PKR-PAS.

“PKR harus diingatkan berkali-kali mengenai pendirian tegas HARAPAN ini,” katanya. – Roketkini.com