Berita

DAPSY Selangor sokong keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: DAPSY Selangor menyambut baik dan menyokong penuh pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya tidak bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut ketuanya, Teh Hoong Keat, keputusan yang diputuskan HARAPAN itu penting memandangkan PAS jelas menjadi proksi kepada UMNO apabila sanggup mewujudkan pertembungan tiga penjuru.

“Sesungguhnya rakyat mempunyai pilihan yang amat jelas dalam pilihan raya umum akan datang iaitu menyokong penuh semua parti yang bersatu di bawah payung Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim serta Dr Mahathir.

“Rakyat seharusnya tegas menolak segala blok politik yang membantu UMNO BN dalam mewujudkan pertarungan tiga penjuru.

“Sekiranya pihak tertentu terus menguar-uarkan untuk terus bekerjasama dengan PAS yang jelas merupakan proksi UMNO, maka pihak tersebut seharusnya memilih untuk keluar daripada Pakatan Harapan dan berpeluk dengan PAS UMNO.

“Janganlah sebab nila setitik dan rosaknya susu sebelanga,” katanya.

Beliau berkata, pendirian PAS dibawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang jauh berbeza dengan kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang lantang membantah kerjasama PAS dan UMNO.

“PAS di bawah pimpinan Datusk Seri Hadi bukan sahaja tidak terus melawan rejim UMNO yang tidak membela nasib rakyat, malah telah semakin rapat dan berbaik-baik dengan rejim zalim tersebut.

“DAPSY Selangor mendukung pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan dan menyeru anak muda Selangor dan seluruh Malaysia untuk berjuang bersama HARAPAN demi menyelamatkan tanah air kita,” katanya lagi. –Roketkini.com