Berita

PRU14: HARAPAN tolak kerjasama dengan PAS, sedia bertanding tiga penjuru

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Dalam ura-ura wujudnya perbincangan kerjasama antara PKR dan PAS, Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan untuk mengambil langkah menjarakkan diri dengan parti Islam itu.

HARAPAN dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan selepas bermesyuarat semalam menegaskan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu turut memaklumkan bahawa mereka sedang merangka strategi bagi menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden HARAPAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan tiga Timbalan Presiden HARAPAN iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali seperti dilaporkan media minggu lepas mengakui bahawa terdapat perbincangan tidak rasmi dengan PAS berhubung kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Pun begitu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali yang juga bekas orang kuat Dewan Ulama PAS Pusat seperti dilaporkan media kelmarin menegaskan bahawa tidak ada sebarang rundingan kerjasama yang berlaku antara PAS dan PKR. – Roketkini.com