Berita

Hutang negara RM655 bilion, punca UMNO laksana GST – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Tindakan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) meminjam wang yang banyak sehingga mengakibatkan negara menanggung bebanan hutang yang tinggi adalah sebab utama mengapa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, hutang yang ditanggung kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 114 peratus daripada RM306.4 bilion pada 2008 kepada RM655.7 bilion pada hujung tahun 2016.

Peningkatan itu, katanya, adalah lebih tinggi berbanding peningkatan peratusan keuntungan yang dikutip kerajaan Persekutuan sebanyak 77 peratus sebelum pelaksanaan GST iaitu daripada RM123.5 bilion pada 2006 kepada RM219.1 bilion pada 2015.

Ekoran itu, katanya, kerajaan UMNO-BN memilih untuk melaksanakan cukai regresif tersebut bagi menampung bebanan hutang yang ditanggung negara dan kian bertambah dari tahun ke tahun.

“Soalan seterusnya yang perlu ditanya, mengapa kerajaan UMNO-BN meminjam begitu banyak wang dan ke manakah wang itu dilaburkan?” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataan, hari ini.

“Jawapannya mudah – ketirisan, rasuah, dan kleptokrasi di bawah pentadbiran UMNO-BN yang wujud melalui skandal 1MDB yang akan menyebabkan rakyat Malaysia selaku pembayar cukai kerugian sekurang-kurangnya RM42 bilion.”

Selagi budaya ketirisan, rasuah dan kleptokrasi tidak dihapuskan, kata Tony yang juga Pengerusi DAP Selangor, apa juga bentuk cukai yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia tidak akan mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara.

“Bak kata pepatah Melayu, ‘besar periuk, lagi besar keraknya’,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti dilaporkan media semalam mendakwa kerajaan Persekutuan tidak akan berfungsi tanpa pelaksanaan GST yang dikuatkuasakan sejak April 2015. – Roketkini.com