Berita

Wanita HARAPAN P. Pinang anjur himpunan ungu peringkat negeri, bantah ‘politik toksik’

GEORGE TOWN, 7 SEPT: Golongan wanita negara ini diseru bangkit menentang ‘politik toksik’ yang menjadi amalan sebahagian ahli politik negara ini sejak sekian lama.

Gejala ‘politik toksik’ antara lain merupakan tindak-tanduk yang sering memangsakan wanita menggunakan kata-kata kesat dan lucah, seksis, rasis dan tidak beradab.

Sehubungan itu, Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) Pulau Pinang akan menganjurkan program solidariti “Wanita Bantah Politik Toksik” pada 10 September 2017, dari jam enam petang hingga tujuh petang di Speakers Corner, Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang; serentak dengan perhimpunan sama di Kuala Lumpur.

“Selain dari satu gabungan solidariti, program ini juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dikalangan masyarakat bahawa setelah 60 dibawah kerajaan yang sama, anasir politik toksik telah menular ke setiap pelosok negara – dari Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri, sehinggalah ke akar umbi masyarakat,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Program ini sekaligus menolak semua jenis politik jahat angkara rasuah, salhguna kuasa, seksisme, rasisme, biadap, diskrimasi serta pendakwaan terpilih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Memandangkan program ini dijalankan dalam nadi yang sama dengan Himpunan Ungu “Wanita Bantah Politik Toksik”, orang ramai digalakkan berbaju ungu dan membawa lampu suluh atau torchlight untuk meraikan sambutan ini,” katanya lagi.

Sidang media yang sama turut menyaksikan mangsa politik toksik, Syerleena Rashid menampilkan contoh-contoh serangan yang dikenakan terhadapnya.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu menjadi sasaran serangan fitnah kononnya mahu memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain kononnya menjadi pendokong agenda Kristian melalui wadah DAP.

“Ini ternyata salah satu contoh politik toksik. Fitnah ini datangnya dalam dua fasa, pertama – Darul Ehsan Leaks.

“Fasa yang kedua berunsur agenda kristian. Yang ini saya tidak tahu datangnya dari mana,” ujarnya, sambil menambah bahawa laporan polis telah dibuat, namun belum ada sebarang tindakan diambil.

“Menjelang PRU14, lebih banyak lagi fitnah dan berita palsu akan di sebarkan. Terutamanya terhadap kaum wanita,” tambahnya. – Roketkini.com