Berita

KM Sarawak digesa henti monopoli simen, turunkan harga rumah

KUCHING, 13 SEPT: Monopoli syarikat pengeluar simen di Sarawak merupakan punca utama nilai hartanah wilayah itu tinggi berbanding negeri lain.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg digesa menghentikan monopoli syarikat pembekal simen oleh Cahaya Mata Sarawak (CMS) bagi membantu menstabilkan harga rumah yang tinggi di wilayah tersebut.

“Sudah diketahui bahawa nilai hartanah di Sarawak terutamanya harga rumah amat tinggi dan menjadikannya tidak mampu dibeli oleh kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana akibat monopoli bahan binaan seperti simen oleh CMS sejak berdekad lalu,” kata DAP Sarawak.

Gesaan ini dibuat dalam satu kenyataan media oleh Pembantu Ahli Parlimen Bandar Kuching, Abdul Aziz Isa dan Jurucakap DAP Go Rural, Thomas Sixtus Tegong Laka.

Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan BN Sarawak membenarkan ‘dasar’ monopoli adalah tidak wajar bagi perkembangan ekonomi Sarawak kerana menjadi punca kenaikan harga dalam projek yang dilaksanakan.

Malah, sekiranya berlaku kekurangan bahan binaan tersebut, seluruh industri terutamanya industri pembinaan akan menerima kesannya.

Ini kerana, simen merupakan bahan yang turut digunakan bagi membangunkan infrastruktur bangunan, kilang, jambatan, jalanraya dan sebagainya.

“Kenaikan kos pengeluaran bahan berkenaan mampu menyebabkan kenaikan kos tambahan kepada pembeli,” kata mereka.

CMS Cemen Sdn Bhd merupakan salah satu anak syarikat subsidari CMS yang merupakan syarikat tunggal pengilangan simen di Sarawak memiliki dua loji pemprosesan di Kuching dan Bintulu dengan kapasiti pengeluaran 1.8 juta tan setahun.

Di Malaysia, terdapat Sembilan lagi pemain industri berkenaan iaitu Lafarge Malayan Cement Bhd, YTL Cement Bhd, Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA Group), Tasek Corp Bhd, Hume Cement, Holcim (Malaysia) Sdn Bhd, Aalborg Portland (Malaysia), dan Cement Industries (Sabah).

Menurut Aziz dan Thomas lagi, memandangkan kerajaan Sarawak sedang merancang untuk membina 12 lagi empangan di Batang Ai, Bakun dan Bengoh; ia memerlukan lebih banyak bekalan simen bagi pembinaan jalan penghubung dan infrastruktur lain.

“Kami menjangkakan akan berlaku kekurangan bekalan simen untuk memenuhi permintaan industri, dan ini merupakan salah satu sebab berlakunya peningkatan kos pembinaan di Sarawak.

“Justeru, Abang Jo perlu melaksanakan liberalisasi industri simen di Sarawak dengan membuka pintunya bagi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain industri simen negara ini.

“Hanya dengan cara begitu, kerajaan mampu menstabilkan harga rumah dan menjadikannya mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” kata kenyataan itu lagi. -Roketkini.com