Berita

Pegawai MPSJ berhadapan ‘steering lock’ terima penghargaan ADUN

SUBANG JAYA, 13 SEPT: Baru-baru ini tular video penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya  (MPSJ) berhadapan wanita yang bertindak menghayun kunci stering kerana tidak berpuas hati tayar kenderaannya diapit pihak majlis perbandaran.

Profesionalisme dan kesabaran tinggi pegawai penguatkuasa Nor Safuan bin Nordin itu berjaya mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan mendapat pujian orang ramai.

Sikap yang ditunjukkan Nor Safuan turut mendapat pujian dan penghargaan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Adun Kinrara, Ng Sze Han dalam sebuah majlis semalam.

“Pagi ini saya bersama Adun Kinrara menganugerahkan sijil penghargaan kepada Pegawai Penguatkuasa MPSJ, Nor Safuan Bin Nordin yang dirakam dalam insiden kunci stereng di Puchong minggu lalu.

“Pegawai ini (Nor Safuan) telah menjalankan tugasnya dengan professional.

“Sebagai wakil yang dipilih rakyat di Subang Jaya, sijil penghargaan ini bertujuan memberi galakan dan sokongan kepada Nor Safuan dan pegawai yang lain agar terus menjalankan tugas mereka dengan baik, melakukan perkara yang benar dan masyarakat akan bersama mereka,” katanya.

Menurut Hannah, tugas sebagai pegawai penguatkuasa pengapit tayar MPSJ bukan suatu pekerjaan yang mudah kerana perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran setiap hari.

“Jika beliau tidak jalankan tugas, mungkin ada orang kata, “kenapa penguatkuasa hanya berdiri tak buat kerja” dan apabila mereka laksanakan tugas, ada pula yang akan kata “kenapalah menyusahkan kami, MPSJ dah tak ada duit?” katanya.

Persepsi masyarakat antaralain menjadi penyumbang kepada cabaran tugas sebagai penguatkuasa.

“Gejala rasuah yang menjadi amalan dan masalah kepada negara kita telah menyebabkan wujudnya persepsi tidak baik terhadap pegawai unit berunifom, kakitangan awam dan ahli politik,” katanya lagi. -Roketkini.com