Berita

Ganjaran kepada pengadu rasuah tak cukup, beri perlindungan imuniti

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran memberikan perlindungan imuniti kepada orang awam yang melaporkan kegiatan rasuah.

Ini disuarakan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishayakaran sebagai respon kepada pengumuman SPRM yang akan memberikan ganjaran dalam bentuk insentif tunai kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah.

“Adalah difahami bahawa ramai penjawat awam keberatan untuk melaporkan rakan-rakan mereka yang terlibat dengan kegiatan rasuah kepada SPRM.

“Ini terjadi ekoran kurangnya keyakinan mereka terhadap tanggungjawab SPRM dalam memastikan kerahsiaan identiti tukang adu, dan kemungkinan pelbagai tindak balas yang akan dihadapi mereka di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, di samping insentif tunai, perlindungan imuniti perlu diberikan kepada tukang adu yang melaporkan kes rasuah, dengan maklumat yang boleh dipercayai, kepada SPRM.

“Ini pasti akan menakut-nakutkan pegawai kerajaan untuk terlibat dalam kegiatan rasuah,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY).

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi seperti dilaporkan media berkata bahawa agensi itu akan memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah berbentuk insentif wang yang sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan.

“Insentif terendah yang ditawarkan adalah RM500 bagi kes rasuah di bawah nilai RM500, namun kes rasuah membabitkan nilai RM500 dan ke atas akan dibayar insentif mengikut nilai sogokan,” katanya dilaporkan Bernama. – Roketkini.com