Rencana

Malaysia sebagai negara kuasa perantara

Sebuah negara yang tidak memiliki populasi atau ekonomi yang besar hampir selalunya tidak dianggap sebagai kuasa besar. Namun, sejak Malaysia melangkah kali pertama dalam arena politik antarabangsa, kita cuba berdiri lebih tegap daripada apa yang kita ada, dan sentiasa mahu ke hadapan. Usaha itu berjaya mengharumkan nama dan pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa. Malangnya, hari ini Perdana Menteri Najib Razak menjadikan Malaysia negara yang dipandang rendah dan tidak relevan.

Apabila negara kita diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan kerajaan pimpinannya mengambil pendirian yang berprinsip untuk menjadi salah satu suara lantang antarabangsa menentang aparteid di Afrika Selatan.

Ketika kemuncak Perang Dingin, Tunku dilihat cenderung kepada Amerika Syarikat, Britain dan negara Barat secara umumnya. Tunku juga rapat dengan dunia Islam yang membolehkan beliau dilantik sebagai setiausaha agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selepas bersara daripada politik.

Sepanjang tahun-tahun yang mencabar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pula dalam diam-diam berhubung dengan pemimpin-pemimpin Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan individu-individu berpengaruh yang bukan dari negara Barat. Kadang-kadang tindakan Tun Razak itu bertentangan dengan kecenderungan pro-Barat Tunku. ASEAN, yang kini meraikan ulang tahun penubuhannya ke-50, merupakan sebahagian usaha Tun Razak.

Apabila beliau menjadi Perdana Menteri pada September 1970, Tun Razak mengubah dasar luar negara kita untuk tidak lagi menjadi terlalu pro-Barat, iaitu bebas menentukan hala tuju sendiri, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Malaysia untuk bergerak aktif di arena politik antarabangsa.

Apabila Richard Nixon menjadi Presiden Amerika pada 1969, beliau mengamalkan dasar detente, iaitu usaha mengendurkan ketegangan dua hala, sewaktu era Perang Dingin. Ini membawa kepada usaha Amerika berbaik dengan China yang dimeterai dengan lawatan Nixon ke Beijing pada 1972. Dalam masa sama Tun Razak memulakan hubungan usaha diplomasi di antara Malaysia dan China.

Hubungan diplomasi itu amat penting kerana ia menjadikan Malaysia sebagai negara bukan komunis di Asia Tenggara yang pertama mengiktiraf Republik Rakyat China. Lawatan Tun Razak ke Beijing pada 1974 dan pertemuan beliau dengan Pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong berjaya meraih sokongan pilihanraya untuk Barisan Nasional yang baru ditubuhkan kerana ramai pengundi Cina di Malaysia ketika itu masih mengagumi China.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula, sama ada kita suka beliau atau tidak, adalah orang yang menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Sebelum skandal 1MDB Najib, apabila rakyat Malaysia berkunjung ke luar negara, orang luar mengenali negara kita, dan akan bertanya tentang Mahathir dan mungkin juga bekas anak didik dan mangsa politiknya Anwar Ibrahim. Bagi kebanyakan negara Dunia Ketiga, Mahathir dipandang sebagai pemimpin yang membawa inspirasi.

Saya tidak semestinya bersetuju dengan semua tindakan Mahathir selama 22 tahun pentadbirannya. Tapi cukuplah dengan mengatakan bahawa kebanyakan pemimpin pembangkang bersetuju bahawa dasar luarnya telah memberi kesan besar. Pada era Mahathir, Malaysia menjadi contoh sebuah negara kuasa perantara (middle power) – walaupun bukan sebuah kuasa besar, ia cukup berpengaruh untuk diberi perhatian oleh negara-negara lain di dunia.

Tiga dasar luar utama Mahathir termasuklah:

  1. Dasar Pandang ke Timur yang bertujuan memupuk hubungan dengan negara dunia pertama yang bukan Barat, terutama Jepun, untuk mengimbangi pengaruh negara Barat;
  2. Menjadi pemimpin suara lantang Dunia Ketiga; dan
  3. Menjadi negara umat Islam yang aktif dan berpengaruh di kalangan negara-negara Islam.

Wawasan dan cita-cita Mahathir dalam membentuk semula pendekatan dasar luar Malaysia cukup mengagumkan pada masa itu. Malangnya kehebatan itu merosot di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Di bawah pentadbiran Najib, imej Malaysia menjadi buruk sebagai sebuah negara kleptokratik. Imej ini turut menjejaskan tata kelola dasar luar negara kita. Kunjungan Najib ke Washington DC merupakan contoh yang tepat tentang hal ini. Meskipun Presiden Donald Trump bermasalah dengan kontroversinya sendiri, Presiden Amerika itu lebih berminat untuk berbincang dengan Malaysia tentang situasi di Korea Utara, aktiviti keganasan di Asia Tenggara, dan pengaruh China.

Namun Najib lebih sibuk dengan siasatan ke atas skandal 1MDB. Tentunya Najib akan memanfaatkan kebimbangan pentadbiran Trump untuk mengimbang masalahnya dalam rundingan dengan pemimpin Amerika itu.

Terdahulu, Najib memandang ke China untuk memeterai perjanjian-perjanjian perniagaan yang membantunya menyelesaikan krisis kewangan 1MDB. Perkiraan beliau mudah: China berminat untuk mengimbangi pengaruh Amerika di rantau, jadi Najib mempergunakan kesempatan itu untuk kepentingan peribadinya.

Negara kita terjejas teruk akibat skandal Najib di kala kita seharusnya mampu ke hadapan sebagai suara penting di Asia Tenggara. Ini penting kerana pada masa ini, kuasa besar, terutama Amerika dan China, sedang berlumba meraih pengaruh.

Malah Malaysia mampu menunjukkan pengaruh lebih besar di peringkat ASEAN serta peringkat lebih tinggi ketika menjalinkan hubungan dengan Amerika dan China, dan dalam masa yang sama tidak dilihat mudah goyah kepada bantuan atau sumbangan kuasa luar tertentu.

Dalam isu etnik Rohingya pula, selain daripada publisiti murahan Najib bersama Presiden PAS Hadi Awang, Malaysia tidak melakukan apa-apa yang serius untuk mempengaruhi perubahan situasi. Malaysia seharusnya lebih jelas dalam menyatakan pendirian serantau untuk menentang aksi pembunuhan orang awam atau dalam memberi tekanan yang lebih kuat ke atas kerajaan Myanmar.

Najib tidak berbuat apa-apa bagi menggubal wawasan atau menentukan masa depan dasar luar Malaysia. Bagi beliau, Malaysia hanyalah sebuah “negara kecil” yang cuba meraih perjanjian kewangan dan bantuan daripada kuasa-kuasa luar. Tidak ada pendirian atau cita-cita. Malah tidak ada sebarang percubaan untuk mencapai apa-apa selain melindungi diri sendiri daripada siasatan skandal 1MDB.

Malah tanpa rasa malu, Najib sanggup mengutuk mereka yang berani bercakap benar sebagai golongan yang merosakkan nama Malaysia. Saya mahu melihat pertukaran kerajaan. Saya percaya kerajaan baru akan menjadikan negara kita sebagai sebuah kuasa perantara dengan hala tuju murni untuk memberi sumbangan kepada Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Bukannya kita tidak pernah melaksanakannya sebelum ini. Cuma sekarang ini era gemilang itu sudah tiada lagi berikutan kegagalan pentadbiran Najib.

*Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang