Berita

Mahkamah putuskan dua Ahli Parlimen DAP tidak bersalah terlibat perhimpunan Bersih 4

KUCHING, 14 SEPT: Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan dua Ahli Parlimen DAP daripada sabitan bersalah di bawah Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman setelah proses pembicaraan berlangsung beberapa kali sejak tahun 2015.

Hakim Steve Ritikos membuat keputusan itu setelah mendapati tindakan kedua tertuduh berkumpul dan berjalan menuju lokasi acara BERSIH 4 yang berlangsung di Padang Song Kheng Hai, dekat sini, sebagai tidak melakukan kesalahan.

Dalam pendakwaan pendakwa raya sebelum ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping dituduh mengambil bahagian dalam protes jalanan sewaktu perhimpunan Bersih 4.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo yang bertindak sebagai peguam berkata, keputusan itu penting sebagai rujukan kes di bawah akta berkenaan di masa akan datang.

“Mahkamah sudah buat keputusan yang saya rasa baik dari segi perundangan.

“Mahkamah telah putuskan bahawa kalau kita berjalan ke tempat yang diluluskan, itu dibenarkan kerana mereka berjalan ke situ untuk sertai himpunan yang diluluskan,” katanya, menyambut baik keputusan tersebut.

Menzahirkan rasa gembira, beliau yang juga Pengerusi Biro Guaman DAP berkata kes ini boleh dijadikan rujukan kepada kes-kes lain pada masa hadapan.

“Saya selaku peguam mengalu-alukan keputusan ini dan berpendapat ia adalah keputusan yang baik dan tepat pada masanya. Ia juga akan membantu untuk kes-kes sebegini pada masa akan datang.

“Saya juga berharap pihak pendakwa raya atau peguam negara tidak membuat rayuan,” kata Gobind.

Mengalu-alukan keputusan hakim, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen ketika dihubungi berkata, pertuduhan yang dikenakan pihak pendakwaraya sebelum ini jelas sebagai pendakwaan politik.

“Jadi, ini nampaknya jelas satu pendakwaan politik terhadap saya dan Julian kerana apa yang menghairankan, pihak penganjur tidak dikenakan tindakan tetapi orang yang ambil bahagian pula didakwa,” jelas Pengerusi DAP Sarawak itu.

Chong turut menyarankan pihak pendakwaraya supaya tidak membuang masa, tenaga dan wang rakyat dengan bermain politik bagi membantu Barisan Nasional (BN) menindas pembangkang.

“Masa dan tenaga pendakwaraya lebih baik digunakan untuk mengurus kes-kes jenayah yang sebenarnya dan bukan diperalat BN untuk menekan kita.

Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping menyeru supaya kerajaan menghormati hak-hak demokratik yang dijamin di negara ini di mana salah satu tugas pembangkang adalah untuk menyuarakan pandangan dan suara rakyat.

“Apabila mereka (kerajaan) mendakwa kita begini, masa dan wang telah dibazirkan sedangakan perhimpunan BERSIH itu sendiri diluluskan oleh kerajaan.

“Masa ini juga sepatutnya kami gunakan untuk jalankan tugas sebagai wakil rakyat tapi terpaksa ke mahkamah. Ini telah memakan masa dan merugikan sumber,” katanya lagi. – Roketkini.com

Foto: DAP Sarawak