Rencana

Teka-teki pendirian PAS dalam PRU14

Frasa yang digunakan oleh HARAPAN dalam kenyataan akhbarnya selepas mesyuarat Majlis Presidennya pada 28 Ogos lalu ialah “tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14”.

Itu adalah bahasa lembutnya. Dalam pengertian sebenar, maksud yang hendak disampaikan ialah mustahil bagi HARAPAN kerjasama dengan PAS.

Hatta parti-parti dan pemimpin-pemimpin HARAPAN yang bersedia tertolak ansur dengan PAS pun akhirnya mengaku kalah. Pendirian luar biasa pemimpin-pemimpin PAS membingungkan mereka.

Kelmarin cakap lain. Hari ini cakap lain. Esok entah apa akan dicakapkan. Lain pemimpin lain cakapnya. Malah pemimpin yang sama pun bertukar cara dan selera mengikut apa yang lebih popular dan selesa.

Mohon maaflah kalau saya kata, amat sukar membezakan yang mana satu cakap orang agama dan yang mana satu cakap gedebe politik.

Ramai pemimpin HARAPAN pada awalnya memberi muka kepada PAS. Malah ada beberapa orang yang sanggup berjumpa, berbincang dan bersetuju itu dan ini dengan PAS.

Dalam proses itu mereka mengorbankan kelancaran, perluasan dan perjalanan HARAPAN.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) misalnya menangguhkan keputusan menyertai HARAPAN kerana mahu memberi masa dan peluang kepada PAS membuat kata putus.

Penyokong kerjasama dengan PAS dalam PKR dan PPBM mengambil risiko kerana bukan semua dalam parti mereka mahu bekerjasama dengan PAS. Malah ramai yang daripada awal lagi menolak kerjasama dengan PAS.

Setelah melihat perceraian dalam rumah tangga PAS  pada Muktamar 2015 yang disusuli dengan cerai talak tiga dengan DAP dan perpisahan tanpa talak dengan PKR, ramai pemimpin PPBM berasa adalah sukar menjalin kerjasama dengan PAS.

Namun begitu, sampai hari ini pun masih ada sisa-sisa harapan bahawa PAS boleh dibawa berunding. Pintu rundingan mungkin sudah tertutup tetapi, seperti kata sesetengah pemimpin HARAPAN, tingkap masih terbuka.

Dalam politik tidak ada istilah mustahil. Misalnya, PAS boleh berpecah mengikut negeri dan menjalin kerjasama dengan PKR atau PPBM.

Misteri Agamawan

Saya yakin banyak orang dan pihak cuba mendalami dan memahami apa yang sebenarnya berlegar di dalam benak kepimpinan PAS yang kini didominasi oleh golongan agama.

Walaupun saya sudah mengenali PAS sejak zaman remaja saya pada tahun 1960-an, ikhlas saya katakan bahawa adalah lebih rumit memahami tindak-tanduk agamawan PAS daripada memahami golongan bukan agama yang telah ditendang keluar pada pemilihan pucuk pimpinan 2015.

Mungkin saya terlalu jahil untuk memahami roh suci agamawan PAS maka saya keliru dengan usik-mengusik dan cinta berahi yang semakin semerbak di antara ketua-ketua PAS dengan para pembesar UMNO/Barisan Nasional.

Saya faham tindakan agamawan PAS menggunakan ortodoksi dan retorik agama untuk menyingkirkan golongan profesional. Mereka berasa terancam oleh kecanggihan golongan ini dan peningkatan pengaruh mereka di kalangan ahli dan penyokong parti.

Selepas kematian Tok Guru (Datuk Seri) Nik Abdul Aziz Nik Mat pada bulan Februari 2015, golongan agamawan PAS yang diketuai Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang bimbang mereka tidak dapat lagi mengawal golongan profesional yang semakin berpengaruh.

Kumpulan profesional ini amat berjaya menjalin kerjasama dengan parti-parti Pakatan Rakyat (PR) dan pada masa yang sama menarik sokongan golongan bukan agama untuk menjadi ahli dan penyokong PAS.

Ini mencetuskan kebimbangan di kalangan agamawan bahawa pengaruh mereka mungkin terhakis dan pada satu masa nanti PAS akan diambil alih oleh golongan bukan agama.

Dalam kaitan ini, amat jelas perbezaan martabat ilmu, pegangan agama dan keyakinan diri di antara Nik Abdul Aziz dengan Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz mengamalkan dasar keterangkuman ummah manakala Abdul Hadi mengamalkan dasar eksklusif golongan agamawan.

UMNO menagguk

Kekacauan dalam Pas ini disedari oleh kepemimpinan UMNO, khususnya (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Dasar dan pendekatan Abdul Hadi dan Mohd Najib sama. Kedua-duanya telah menyingkir golongan yang tidak sebulu dengan mereka daripada pucuk pimpinan parti dan menjadikan parti masing-masing khusus untuk yang setia dan dengar kata saja.

Kedua-dua mereka memimpin parti yang pecah dan menghadapi pencabar baru yang tahu kelemahan mereka. PAS ditentang oleh Amanah dan UMNO oleh PPBM.

PAS lega UMNO berpecah dan UMNO lega PAS berpecah. PAS yakin UMNO lemah dan UMNO yakin PAS lemah. Atas dasar itu, mereka yakin mereka kini boleh bekerjasama.

UMNO tidak pernah mahu PAS berkembang dan menjadi kuat. Tanpa golongan profesional, sumber idea dan kewangan PAS kering. PAS terpaksa kembali mengemis sedekah dan derma.

Bagi Mohd Najib yang mengamalkan dasar “wang adalah raja”, masalah kewangan PAS ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. UMNO masih banyak duit – duit parti dan duit negara.

Tidak hairanlah kalau cinta berahi Mohd Najib-Abdul Hadi mekar umpama bunga lepas kemarau – sama bau dan sama warna.

Itulah sebabnya amat sukar bagi PKR dan PPBM membawa PAS ke meja perundingan walaupun ada pemimpin PAS yang menolak kemungkaran UMNO/BN dan tahu kerjasama dengan parti Mohd Najib itu akan membawa kemudaratan kepada PAS.

Kemungkinan ditolak

Sesiapa saja yang faham politik akar umbi UMNO dan PAS tahu bahawa adalah mustahil bagi kedua-dua buah parti itu memujuk atau memaksa ahli dan penyokong mereka menerima satu sama lain.

Kewujudan UMNO dan PAS adalah kerana mereka saling bermusuhan. Ramai orang UMNO dan segelintir orang PAS menjadi kaya raya kerana permusuhan itu.

Kalau UMNO dan PAS berpakat secara langsung atau secara taktikal melawan HARAPAN, belum tentu habuan itu berterusan atau menjadi lebih besar. Sebaliknya ia mungkin menguncup dan terpaksa dikongsi di antara UMNO dan PAS.

Yang nampak jelas ialah UMNO akan menggunakan kekayaannya untuk membeli PAS dalam usaha melagakan PAS dengan HARAPAN. Dengan cara itu UMNO berharap boleh menyelam sambil minum air.

Agamawan PAS sendiri mungkin sudah menerima hakikat bahawa PAS akan kalah teruk kalau bertanding bersendirian. Bukan kepada HARAPAN tetapi kepada rakan kongsinya BN.

Di pihak yang lain pula, walaupun kerjasama dengan UMNO tidak menjanjikan kemenangan tetapi sekurang-kurangnya mereka berpeluang mendapat duit daripada UMNO dan kerajaan.

Duit sangat penting dalam PRU kali ini kerana itulah batu azimat Mohd Najib.

Setelah berjaya memiskinkan rakyat jelata dengan menghapuskan berpuluh bilion ringgit subsidi dan mencukai mereka melalui GST atas nama transformasi ekonomi, Mohd Najib berharap gula-gula pilihan raya seperti BR1M, bantuan khas dan penanak nasi akan memberikan beliau kemenangan.

PAS memerlukan duit dan tidak ada orang yang lebih berduit daripada Mohd Najib. Jadi hendak tak hendak, sama ada duit Mohd Najib itu haram, halal, sunat atau makruh, Abdul Hadi terpaksa menimbangkannya.

Kalau pada pendapat beliau, tidak ada empat orang saksi alim dan suci yang mengeluarkan fatwa mengatakan duit Mohd Najib itu haram, maka bolehlah PAS menerimanya kalau mahu.

Dipetik dari blog penulis: http://kadirjasin.blogspot.my/2017/09/teka-teki-pendirian-pas-dalam-pru-ke-14.html

* Tan Sri A Kadir Jasin adalah bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times. Kini merupakan Ahli MPT Parti Pribumi Bersatu Malaysia.