Berita

Alasan DBKL terlalu subjektif, perlu lebih penjelasan

GEORGE TOWN, 19 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak wajar menolak sebarang permohonan daripada penganjur atas alasan sesuatu pesta atau aktiviti itu kononnya menganggu sensitiviti dan menimbulkan kemarahan masyarakat.

Selain tidak ada dalam peruntukan undang-undang bagi DBKL untuk menggunakan alasan sedemikian, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga berpendapat bahawa ia bersifat subjektif.

“Alasan sebegini sangat subjektif, (sebagai contoh) saya mungkin merasakan perkara itu sensitif, tetapi anda mungkin tidak rasa ia sebagai sesuatu yang sensitif, atau sebaliknya” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, jika alasan berkenaan berterusan digunakan secara berleluasa, ia dibimbangi akan membuka ruang terhadap penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Alasan sedemikian membelakangi serta tidak menghormati asas serta kedaulatan undang-undang negara,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan DBKL yang menolak permohonan penganjuran pesta Better Beer Festival 2017 di ibu negara.

Keputusan berkenaan dipercayai dibuat selepas PAS Kelantan membantah penganjuran pesta terbabit dengan alasan kononnya tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Ia sepatutnya menjadi penganjuran kali ketiga sejak penganjuran kali pertama pada 2012 dan kedua pada tahun lepas.

Guan Eng dalam pada itu menggesa agar DBKL memberikan alasan yang munasabah terhadap tindakannya itu.

“Kita bukan negara yang tidak mempunyai undang-undang, apa yang patut dilakukan (DBKL) adalah memberikan penjelasan yang sebetulnya,” tegasnya. – Roketkini.com