Berita

Isu penutupan KR1M: Kantung negara susut, rakyat miskin jadi mangsa

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa tindakan kerajaan menutup sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM) sebagai petunjuk terhadap kelemahan ekonomi negara.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, ini terjadi antara lain disebabkan oleh kelemahan tadbir urus kerajaan selain skandal mega yang melanda negara membabitkan 1MDB.

“Ekonomi negara yang meruncing pada hari ini adalah disebabkan kejatuhan nilai Ringgit yang didorong oleh kehilangan kepercayaan pelabur terhadap integriti tadbir urus negara.

“Ini sepertimana kenyataan mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa nilai matawang negara tidak akan pulih selagi isu 1MDB tidak diselesaikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, alasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin semalam bahawa KR1M ditutup sementara bagi tujuan penambahbaikan adalah meragukan.

“Ini kerana penutupan sementara ini berlaku kepada hampir kesemua premis KR1M di seluruh negara sedangkan penambahbaikan biasanya dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi harian semua premis KR1M,” katanya.

Malah, kenyataan Hamzah itu katanya bertentangan dengan kenyataan syarikat pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd akhir Julai lepas yang menyatakan bahawa mereka mengalami kerugian besar.

“Justeru, adalah jelas bahawa faktor sebenar penutupan sementara ini adalah disebabkan kekeringan kantung negara yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus pentadbiran kleptokrasi (Datuk Seri) Najib Razak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, pelaburan berbilion-bilion ringgit di Amerika Syarikat seperti yang diumumkan Najib Razak baru-baru ini sepatutnya disalurkan untuk memulihkan ekonomi negara sekaligus membantu meringankan beban rakyat.

“Penutupan sementara KR1M ini sudah pasti menambah beban hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) yang bergantung kepada barangan murah yang ditawarkan di KR1M,” ujarnya.

Selain itu, katanya, perniagaan industri kecil dan sederhana yang bergantung terhadap KR1M bagi tujuan pemasaran produk mereka juga bakal terjejas dengan arahan penutupan sementara berkenaan.

“Justeru, kebaikan produk 1Malaysia kepada rakyat seperti KR1M mula menunjukkan kesan buruk kepada rakyat akibat kelemahan tadbir urus negara terutama kepincangan 1MDB,” tambahnya. – Roketkini.com