Berita

Ekonomi dan rasuah, isu utama dibimbangkan anak muda

PETALING JAYA, 20 SEPT: Rupa-rupanya hanya 6% anak muda Malaysia berumur antara 21 hingga 30 tahun merasakan skandal 1MDB adalah isu yang paling membimbangkan mereka.

Majoriti responden tinjauan Merdeka Center berkenaan persepsi anak muda terhadap ekonomi dan isu semasa menyatakan bahawa kebimbangan utama mereka sebenarnya ialah masalah kenaikan harga barang dan juga penyakit rasuah yang sedang membarah.

Pembentangan Ibrahim Suffian, pengasas Merdeka Center; turut menunjukkan bahawa 70% responden tinjauan terbabit, tidak peduli tentang politik; dan merasakan ahli politik adalah punca masalah negara.

Namun masalahnya, dua pertiga daripada jumlah responden yang ditemuramah, tidak mendaftar sebagai pengundi.

“51 peratus responden bersetuju bahawa isu utama yang dirasakan penting bagi mereka ialah inflasi, diiukuti 34 peratus memilih isu rasuah, diikuti peluang pekerjaan, ketidakstabilan politik, jenayah dan perumahan,” jelas Ibrahim dalam acara di Shah Village Hotel, malam semalam.

“Hanya 6% yang merasakan skandal 1MDB adalah isu utama, manakala hanya 2% memilih pelaksanaan undang-undang ‘hudud’ di Malaysia,” tambahnya lagi, disambut rasa terkejut hadirin.

Menurut beliau, isu 1MDB tidak akan mendapatkan sokongan baru kerana orang ramai telah sedia maklum tentang skandal tersebut.

“Mereka tidak bodoh, mereka tahu apa yang benar dan salah. Isu yang lebih besar ialah yang mana lebih penting antara ini berbanding isu-isu lain yang akan mendorong mereka ke peti undi,” jelasnya.

Mengulas dapatan soalselidik itu, Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda (DAPSY) Shakir Ameer berkata bahawa anak muda sebenarnya sudah semakin kritis terhadap ahli politik.

“Mereka kurang berminat dengan politik kerana bagi mereka, apa yang lebih utama ialah untuk terus ‘survive’. Memang mereka muak dengan politik secara umum,” ujarnya yang turut hadir semalam.

Shakir yang juga Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam turut berpendapat bahawa anak muda Malaysia semakin matang untuk menilai baik buruk parti-parti politik.

“Mereka lebih praktikal, dan mereka lebih kritis. Tak perlu banyak bergantung kepada sistem politik kerana mereka ada sumber-sumber sendiri.

“Kita perlu menggembleng tenaga mencari cara-cara untuk memastikan kehidupan mereka selesa dan berjaya, sambil mendidik mereka tentang perubahan yang boleh dilakukan apabila terlibat dalam proses demokrasi,” tambahnya.

Politik tidak beri kesan langsung kepada kehidupan anak muda

Sementara itu, aktivis anak muda, Adam Adli Abd Halim pula menafsirkan angka-angka Merdeka Center sebagai sebagai bukti bahawa orang muda sudah beralih kepada isu-isu nyata yang benar-benar memberi kesan ke atas kehidupan mereka.

“Masyarakat terutamanya golongan muda lebih terkesan dengan isu periuk nasi, yang ironinya tidak dimainkan dengan agresif seperti isu 1MDB.

“Yang ini saya percaya kerana isu ekonomi adalah lebih rumit; ia bukan hanya soal menyalahkan seseorang (seperti 1MDB), ia juga melibatkan penyelesaian. Setakat menyerang kelemahan ekonomi kerajaan, tidak akan menarik sokongan pengundi muda,” ujarnya.

Kata Adam lagi, golongan muda kebanyakannya terpelajar dan sedar bahawa permasalahan ekonomi ini memerlukan solusi sebenar.

“Saya fikir wajar untuk lapisan pimpinan muda Pakatan Harapan, dalam mendepani PRU yang akan datang; menyatakan tawaran penyelesaian kemelut ekonomi yang lebih jelas dan tuntas.

“Golongan muda yang dinamik politiknya lebih progresif pasti ada dasar ekonomi yang boleh menarik perhatian golongan muda yang lain,” tambah beliau. – Roketkini.com