Berita

Maahad tahfiz di Pulau Pinang terus dapat pembelaan kerajaan negeri

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Sebanyak 67 maahad tahfiz di seluruh negeri Pulau Pinang akan terus mendapat pembelaan kerajaan negeri termasuk aspek keselamatan institusi berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan memantau dengan lebih dekat aspek keselamatan institusi tahfiz bagi membantu dan memperkemas lagi perkembangannya di negeri ini,” kata Exco Hal Ehwal Agama Dato’ Abdul Malik Kassim.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan maahad tahfiz sehingga meragut nyawa para pelajar dan guru-guru.

Beliau merujuk kepada insiden malang kebakaran yang telah meragut nyawa seramai 27 pelajar dan guru-guru tahfiz di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meski kes itu berpunca dari perbuatan khianat, namun, ciri keselamatan sesebuah bangunan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Jelas Abdul Malik, langkah MMK Agama Negeri memperkemas kualiti keselamatan di institusi tahfiz berkaitan selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang diadakan 19 September lalu.

“Bahagian Pendidikan bagi Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEIPP) dengan kerjasama Jabatan Bomba telahpun mengadakan taklimat keselamatan, kebakaran dan kesihatan dengan pihak maahad tahfiz di negeri ini.

“Langkah pemantauan berwajib serta tindakan lanjut adalah berdasarkan Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004,” katanya lagi.

Daripada 67 maahad tahfiz di Pulau Pinang, 47 daripadanya telah berdaftar manakala 20 lagi masih belum berbuat demikian. – Roketkini.com