Berita

Pam air tenaga solar pertama hasil kreativiti Impian Sabah

PENSIANGAN, 21 SEPT: Hasil kreativiti dan inovasi Impian Sabah, Projek Sistem Air Pam Kuasa Solar berjaya dihasilkan buat pertama kali di Sabah.

Projek yang dijalankan di Kampung Melosok daerah Sook itu telah memberi manfaat dan mengakhiri penderitaan  20 tahun penduduknya yang hidup serba daif akibat ketiadaan sumber air bersih dan terawat.

Jika sebelum ini mereka terpaksa bergantung hidup dengan sumber air telaga dan air sungai Tulid yang tercemar dan tidak selamat diminum, kini, masalah itu telah selesai.

Kejayaan projek tersebut telah memberi manfaat kepada kira-kira 329 penduduk yang mana sebelum ini tidak pernah memperoleh bantuan kerajaan meskipun telah beberapa kali membuat permohonan.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang ketika ditemui berkata, projek yang dilaksanakan Impian Sabah itu merupakan hasil inovasi yang bermanfaat yang mampu mengakhiri penderitaan penduduk kampung di kebanyakan kawasan di Pensiangan yang masih tidak memperolehi sumber air bersih.

“Impian Sabah telah berjaya membina sebuah pam air dengan kuasa pam solar yang hanya menelan belanja lebih kurang RM60,000 dan mampu memanfaatkan seluruh penduduk kampung.

“Cuba bayangkan dengan jumlah harga yang sedemikian, mengapa kerajaan negeri dan persekutuan masih gagal memberikan sumber air terawat di kebanyakan kampung di Pensiangan ini,” katanya yang juga penyelaras keseluruhan projek berkenaan.

Antara tangki penyimpanan air. Foto kanan menunjukkan proses pemasangan sistem tenaga solar oleh sukarelawan dan penduduk kampung.

Beliau, berkata, sekiranya sejumlah RM150 juta yang ditemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan Jabatan Air Sabah 

sebelum ini digunakan untuk kepentingan rakyat, sebanyak 2,500 projek pam solar sedemikian mampu dilaksanakan.

“Bayangkan dengan jumlah sedemikian, pasti tidak ada lagi kampung di Pensiangan ini yang hidup daif ketiadaan sumber asas air,” katanya lagi.

Wakil penduduk kampung, Dianek Sebin @Julius yang ditemui berkata, seluruh penduduk kampung melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada sukarelawan dan kakitangan Impian Sabah yang bertungkus-lumus menjayakan projek berkenaan.

“Seluruh penduduk kampung Melosok bangga dengan kejayaan pembinaan sistem air dengan kuasa pam solar ini.

“Ini merupakan pemasangan yang pertama di Sabah dan kampung kami menjadi kampung pertama  pemasangan dibuat,” katanya lagi yang turut mengetuai penduduk kampung menjayakan projek berkenaan. 

– Roketkini.com