Berita

Siapa hakis royalti minyak Sarawak, Sabah?

KUCHING, 25 SEPT: Hujan lebat pada awalnya tidak menghalang ribuan rakyat pelbagai kaum terus membanjiri dataran ceramah Tawaran Baru untuk Sarawak malam tadi.

Ceramah membentangkan rangka manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak itu komited untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 dalam usaha untuk memperkukuhkan autonomi Sarawak dan Sabah.

Rangka manifesto itu mengetengahkan jaminan kepada lima hak iaitu hak untuk sebuah kerajaan wilayah, hak untuk petroleum dan pulangan adil, hak untuk pembangunan tanah dan kemudahan asas, hak untuk pendidikan bermutu, hak untuk pembangunan ekonomi dan pemberdayaan wanita, remaja dan golongan minoriti.

Kredit foto: Norman Goh, Malaysiakini

Ketika berucap, Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan komitmen HARAPAN untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia termasuk perjanjian royalti minyak.

“Saya jadi perdana menteri 22 tahun. Saya tidak tukar perjanjian dengan Sabah dan Sarawak. Tapi saya berpendapat perjanjian ini perlu dirunding semula,” katanya.

Menurutnya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang diluluskan parlimen sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak menyebabkan Sarawak dan Sabah hanya menerima lima peratus royalti petroleum.

Hak royalti Sarawak dan Sabah itu katanya semakin terjejas pada tahun 2012 apabila kerajaan merangka Akta Laut Wilayah 2012.

Akta itu antara lain menyebut negeri hanya berkuasa tiga batu nautika dari kawasan laut manakala kawasan laut yang berada di bawah kuasa negara adalah 12 batu nautika dari pantai.

“Perjanjian itu tidak mengambilkira tiga wilayah yang bercantum (Malaya, Sarawak dan Sabah). Sebab itulah bahagian (royalty) Sabah, Sarawak dan Terengganu hanya lima peratus.

“Bilakah wilayah offshore ini dibuat undang-undang? Ia dibuat tahun 2012. Pada 2012 siapa yang jadi PM?” soalnya.

Selain Tun Mahathir, turut berucap ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang; Ahli Jawatankuasa AMANAH, Dr Hatta Ramli; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen; Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan pemimpin-pemimpin belia. –Roketkini.com