Berita

Orang muda tak minat politik? Ini mungkin penyelesaiannya…

IPOH, 24 SEPT: Menurunkan had umur layak mengundi selain melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik adalah cara terbaik bagi mengatasi sikap kurang minat golongan muda terhadap politik, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran.

Beliau berucap demikian dalam sesi latihan ejen pengundian dan ejen pengiraan (PACA) di sini, semalam sebagai respon terhadap dapatan kajian baru-baru ini yang mendedahkan bahawa kebanyakan golongan muda di negara tidak berminat terhadap politik.

“Jika orang muda dalam usia 18 tahun sudah dibenarkan untuk menandatangani kontrak dan dikenakan cukai, saya tidak faham mengapa mereka perlu menunggu tiga tahun lagi sebelum dibenarkan untuk mengundi.

“Terdapat 13 juta pengundi telah didaftarkan dengan 3.6 juta lagi masih tidak mendaftar diri sebagai pengundi meskipun layak untuk berbuat demikian, sebahagian besar daripada mereka pula adalah berusia dari 21 hingga 35 tahun,” katanya.

Katanya, trend pendaftaran pengundi berkenaan mirip seperti mana sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) terdahulu, di mana terdapat 12 juta pengundi telah didaftarkan sementara empat juta lagi tidak mendaftar.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP justeru berkata menurunkan had umur layak mengundi selain melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik adalah rancangan terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Politik adalah elemen yang perlu bagi memudahkan orang awam untuk terlibat dalam sesuatu proses demokrasi,” tambahnya.

Ketika ini, 21 tahun adalah had umur bagi melayakkan seseorang itu untuk didaftarkan sebagai pengundi. – Roketkini.com