Berita

Adakah SPRM cukup kredibiliti untuk saring calon HARAPAN?

GEORGE TOWN, 28 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk menyaring calon Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy.

Walaupun SPRM menerima publisiti meluas melalui beberapa siri tangkapan berprofil tinggi sejak akhir-akhir ini, katanya, ia tidak memberi sebarang makna apabila agensi itu gagal bertindak terhadap individu yang terlibat dengan skandal mega.

Beliau merujuk antaranya skandal mega melibatkan syarikat dana berdaulat negara, 1MDB yang kini dikaitkan dengan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Pada masa ini, malangnya, SPRM tidak dianggap sebagai agensi awam yang berani dalam memerangi rasuah, tetapi hanyalah agensi yang mengikut arahan eksekutif.

“Ya, agensi itu menerima banyak publisiti ekoran penangkapan individu tertentu sektor awam dan swasta yang terlibat rasuah, tetapi SPRM kurang taring dalam menangkap ‘jerung’ terutamanya yang melibatkan skandal rasuah mega,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata demikian sebagai mengulas pelawaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik di negara ini untuk menyaring senarai nama bakal calon pilihan raya umum (PRU).

Setakat ini hanya UMNO-BN yang telah menghantar senarai tersebut kepada pihak SPRM.

Ramasamy dalam pada itu turut mempersoalkan sama ada SPRM akan menyahut cabaran Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk melarang calon UMNO-Barisan Nasional (BN) daripada bertanding dalam PRU jika dibuktikan terlibat dengan skandal 1MDB.

“Adakah SPRM bersedia untuk melakukannya?” soalnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai. – Roketkini.com