Berita

Bank Negara denda 1MDB, HARAPAN akan buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membuat satu laporan polis terhadap 1MDB susulan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mendenda syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan itu.

Timbalan Presiden HARAPAN, Mohamad Sabu berkata, gabungan itu juga akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Gabenor BNM bagi mendapatkan penjelasan berkaitan perkara berkenaan.

“Beberapa hari lagi, Ketua Pembangkang (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) bersama rombongan (HARAPAN) akan membuat laporan polis.

“Kami seterusnya akan membuat percubaan untuk bertemu dengan Gabenor Bank Negara untuk mendapatkan penjelasan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Amanah di sini, hari ini.

Presiden HARAPAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti dilaporkan media, semalam, mendedahkan sepucuk surat daripada BNM yang menyatakan bahawa 1MDB telah didenda sejumlah RM115.8 juta kerana tidak mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Surat berkenaan dikeluarkan sebagai menjawab memorandum yang diserahkan HARAPAN kepada BNM pada bulan lepas yang antara lain menggesa supaya institusi kewangan itu membuka semula kertas siasatan terhadap 1MDB.

“Secara logik, Bank Negara mendenda 1MDB sebanyak RM115.8 juta, ini bermakna banyak undang-undang yang dicabuli.

“Jelas sekali pencabulan undang-undang dibuat mengikut arahan seseorang kerana 1MDB bukan sejenis makhluk yang bertindak sendiri,” katanya yang juga Presiden PKR memetik laporan Malaysiakini.

Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, dengan pendedahan berkenaan, keperluan untuk mengadakan perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” pada 14 Oktober nanti menjadi lebih mendesak dan perlu.

“Dengan pendedahan Bank Negara ini, iaitu kompaun yang dikenakan institusi kewangan ini, maka makin terserlah bahawa berlaku penyelewengan besar-besaran dalam 1MDB.

“Oleh itu, himpunan rakyat pada 14 Oktober ini cukup penting untuk kita memberikan penerangan dan menuntut supaya rakyat membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” katanya. – Roketkini.com