Berita

Penghuni pangsapuri berang kos selenggara naik 300%

KOTA KINABALU, 30 SEPT: Penghuni di 251 unit Nonton Apartment dekat sini dibelenggu dilema apabila pengurusan penyelenggaraan kediaman itu menaikkan caj penyelenggaraan sebanyak 300%.

Kenaikan itu telah menyebabkan penghuni terpaksa membayar sebanyak RM200 berbanding caj sebelum ini RM50 sebulan.

Perkara itu telah diadukan kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin.

Beliau menegaskan, bahagian penyelenggaraan kondominium dan pangsapuri tidak wajar menaikkan bayaran penyelenggaraan sewenang-wenangnya.

“Penghuni di sini mendakwa, keputusan menaikkan kos selenggara dibuat tanpa persetujuan atau perbincangan dengan persatuan penduduk,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Difahamkan, masalah itu timbul apabila pihak pengurusan apartmen berkenaan berhutang sebanyak RM173,885.31 dengan Jabatan Air Sabah.

Penghuni mendakwa, wujud ketidakjujuran dalam pengurusan audit penyelenggaraan pangsapuri berkenaan sehingga menyebabkan masalah itu timbul.

Berdasarkan maklumat yang diberi, Penasihat DAP Sabah itu berkata, pihak pengurusan juga telah bertindak membuat pemotongan meter air dengan alasan kononnya tunggakan bayaran.

Apa yang lebih menimbulkan persoalan, pemotongan itu dibuat meski pun penghuni telah membayar bil air semasa kepada pihak pengurusan setiap bulan.

Menurut Jimmy, sebelum ini, penghuni pangsapuri tersebut pernah mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Roland Chia untuk berbincang dengan pihak pengurusan bagi mencari jalan penyelesaian.

Dalam pertemuan tersebut, Roland meminta agar pihak pengurusan memberi tempoh kepada penghuni dan tidak memotong bekalan air sehingga punca masalah sebenar dikenal pasti.

Namun, cadangan itu tidak diendahkan pihak pengurusan dan tetap melakukan pemotongan.

“Menurut penghuni, mereka telah pun menjelaskan bil air bulanan kepada pihak pengurusan tetapi mengapa pihak pengurusan masih berhutang dengan Jabatan Air dan kenapa penghuni dijadikan mangsa sedangkan pihak pengurusan yang berhutang?

“Berdasarkan apa yang dimaklumkan, seolah-olah wujud pecah amanah dari pihak pengurusan, yang mana mereka gagal menunjukkan penyata akaun audit ketika diminta oleh wakil persatuan penghuni sewaktu perjumpaan bersama pihak pengurusan  untuk berunding yang telah diadakan baru-baru ini,” jelas Jimmy.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Jimmy telah mencadangkan supaya persatuan penghuni melantik juruaudit untuk menyemak akaun pihak pengurusan dan melantik seorang peguam bagi sebarang tindakan undang-undang.

Wakil penghuni, Steven Lau berkata, sepucuk surat akan dikeluarkan untuk mendapatkan persetujuan daripada semua penghuni Nonton Apartment bagi mengadakan mesyuarat khas untuk merombak ahli jawatan kuasa persatuan berkenaan sekaligus mengadakan mesyuarat bersama pihak pengurusan bagi menyelesaikan isu yang timbul.

Menurutnya, pihak pengurusan yang sedia ada baru ketika mengambil alih daripada pengurusan lama pada 2016. – Roketkini.com