Rencana

Kit Siang sekolahkan logik Rahman Dahlan

Bila berbicara soal kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), ada dua unsur yang harus dibuang ketepi; satu ialah kejujuran, dan satu lagi logik.

Kerana kita tidak akan menemukan kedua-dua unsur tersebut bila masing-masing pemimpin UMNO-BN ingin menjuarai kempen propaganda mereka dan menutup tembelang sendiri.

Terbaru, Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan meminta supaya Lim Kit Siang bersara daripada bidang politik.

Rahman antaranya mendakwa Ketua Parlimen DAP itu kononnya adalah liabiliti atau bahasa mudahnya beban, kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kalau dilihat dari perspektif UMNO-BN, ‘kelemahan’ Kit Siang sepatutnya dibiarkan atau diraikan, kerana ia membawa kelebihan kepada parti pemerintah itu.

Tetapi, Rahman Dahlan yang terlebih cerdik ingin mengampu bosnya barangkali telah menggunakan strategi yang tidak masuk akal.

Tiba-tiba Menteri UMNO dari Sabah itu mahu Kit Siang meninggalkan politik.

Bukankah itu strategi yang buruk daripada seorang pemimpin yang diminta partinya untuk mengalas tanggungjawab besar jentera propaganda.

Namun, Kit Siang nampaknya tidak mudah melatah dengan kenyataan sumbang Rahman Dahlan apabila membalas dengan cukup cantik dalam kenyataan yang dikeluarkannya hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebaliknya mahu Rahman Dahlan – yang disifatkannya sebagai satu rahmat kepada HARAPAN, namun perosak kepada BN – untuk kekal dalam BN bagi memudahkan laluan HARAPAN untuk merampas Putrajaya.

Kit Siang sebenarnya sekaligus telah menyekolahkan logik Rahman Dahlan yang jauh ke laut.

Jika perkara senang melibatkan logik begini pun Rahman Dahlan tak terfikir, untuk apa lagi kita sebagai rakyat memberikan mandat kepada mereka untuk terus mentadbir negara untuk tempoh lima tahun lagi? Fikirkan. – Roketkini.com