Berita

Biar bangunan SPRM sederhana, tapi reputasi bertaraf global – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memerlukan bangunan ibu pejabat yang gah.

Sebaliknya apa yang diperlukan SPRM adalah sebuah ibu pejabat yang sederhana tetapi mempunyai perkhidmatan bertaraf global, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“SPRM tidak perlu bangunan ibu pejabat yang begitu mahal, berlebih-lebihan dan besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Apa yang penting adalah SPRM mempunyai ibu pejabat yang sederhana namun memiliki reputasi global yang mantap sebagai agensi anti-rasuah bertaraf antarabangsa dalam memerangi rasuah tanpa rasa takut dan pilih kasih, tidak kira melibatkan ‘jerung’, ‘harimau’, atau ‘buaya’.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan perasmian bangunan baharu ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Ahad lepas mendakwa bahawa bangunan berkenaan adalah kompleks agensi anti-rasuah terbesar di dunia.

Bangunan itu turut digembar-gemburkan Najib sebagai simbol kepada kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Dengan perasmian bangunan SPRM berkenaan, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, ia bukanlah pencapaian pertama Malaysia di peringkat global.

Ini kerana, katanya, ada pencapaian lain yang ‘diraih’ lebih awal oleh negara di peringkat antarabangsa.

“Ia (bangunan baru SPRM) bukannya ‘pertama’, kerana Malaysia mencapai ‘pengiktirafan’ pertamanya apabila menjadi ‘kleptokrasi global’ di bawah pemerintahan Najib,” ujar Kit Siang secara sinis.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menyarankan agar SPRM memulangkan semula sumbangan RM5 juta yang diberikan Najib Razak kepada Yayasan Prihatin SPRM ekoran wujud percanggahan kepentingan.

“Integriti, kebebasan dan profesionalisme SPRM dan pegawainya harus tetap dipertahankan dan tidak harus dikompromi dalam apa jua keadaan,” tegasnya. – Roketkini.com