Berita

DAP tuntut keadilan di atas kematian dua anggota tentera laut

KUALA LUMPUR, 3 OKT: DAP mahu keadilan ditegakkan terhadap jenayah yang berlaku ke atas dua anggota tentera laut ketika menjalani sesi latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Setiawan, Perak pada Jumaat lepas.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng berkata, anggota yang bertanggungjawab terhadap jenayah itu mesti dibawa ke muka pengadilan bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

Beliau turut mengingatkan semula kisah amuk prebet Adam Jaafar di Kuala Lumpur pada 30 tahun lepas yang mengakibatkan kematian dan ramai lagi cedera berikutan tekanan yang dihadapi anggota tentera itu akibat didera secara fizikal dan seksual.

“Keadilan mesti ditegakkan untuk kedua-dua anggota yang telah terkorban serta ramai lagi yang tidak menemui ajal namun berkesudahan senasib seperti prebet Adam yang menerima parut emosi ekoran penderaan fizikal dan mental oleh rakan-rakan mereka sendiri.

“Anggota tentera yang bersikap buruk ini, termasuk yang terlibat menzalimi prebet Adam (jika kisah itu benar) mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Segambut dalam kenyataan, hari ini.

Menurut siasatan awal polis, Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26 dipercayai mati disebabkan oleh penderaan, sekaligus mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh.

Lip Eng berkata, aspek keselamatan di pengkalan tentera apatah lagi di kawasan bilik tahanan perlu diperketatkan dengan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV).

“Berapa banyak kamera yang berfungsi ketika dua insiden tersebut berlaku di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan?

“Dua persoalan ini tidak boleh terus disembunyikan daripada pengetahuan umum apabila siasatan diselesaikan kelak,” ujarnnya. – Roketkini.com.