Berita

Bukan lagi ‘aur dan tebing’, UMNO-BN khianati penjawat awam

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Hubungan penjawat awam dan kerajaan tidak lagi boleh diibaratkan seperti ‘aur dan tebing’ selepas golongan itu merasai kesan daripada pelaksanaan pelbagai dasar yang membebankan oleh UMNO-Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjawat awam sudah mulai ‘tawar hati’ dengan tindakan gabungan itu memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus selain menghapuskan subsidi.

“Tambahan pula, kepincangan kepimpinan UMNO-BN dengan pelbagai skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah membuatkan penjawat awam berasa meluat dan menyampah dengan kepimpinan sedia ada.

“Lagi mendukacitakan apabila para penjawat awam sering dibelenggu oleh campurtangan politik dan kebajikan yang tidak berpenghujung,” katanya yang juga Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa masa depan penjawat awam mungkin menjadi buruk jika pihak pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Nasution berkata, kerajaan UMNO-BN tidak perlu bimbang terhadap kekurangan sokongan penjawat awam jika mereka benar-benar mengamalkan pentadbiran yang berintegriti dan berjaya memerintah dengan baik.

“Jika hendak dipersoalkan perihal kenang budi, UMNO-BN menjadi contoh kerajaan yang tidak tahu kenang budi rakyatnya.

“Setelah undi dan mandat diberi, di kemudian hari rakyat dilayan bagai ‘sampah sarap’, malah semua projek diberikan kepada kroni-kroninya sahaja,” ujarnya.

Beliau turut mengakui bahawa penjawat awam mampu menjadi pencetus perubahan.

Sehubungan itu, katanya, golongan penjawat awam tidak seharusnya membiarkan diri mereka diperkotak-katikkan pemimpin UMNO-BN.

“Hal ini boleh diterjemahkan pada PRU ke-14 akan datang dengan menggunakan kuasa undi bagi mengubah keadaan negara dan perkhidmatan awam khasnya,” katanya. – Roketkini.