Berita

Kementerian Pendidikan wajar tuntut permohonan maaf dari Ku Nan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid wajar menuntut permohonan maaf dari Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ekoran majlis bertemakan UMNO di sebuah sekolah di Putrajaya semalam.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, jika Mahdzir benar-benar serius menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan, beliau sepatutnya menegur apa yang berlaku di sekolah terbabit.

“Menteri Pendidikan dan Kabinet sepatutnya ‘menggasak’ Tengku Adnan dalam mesyuarat kabinet pagi tadi di atas kesalahannya di SK Putrajaya Presint 14(1) tersebut sehingga menyebabkan murid-murid dan guru terpaksa turut serta malah apa yang lebih buruk, para guru juga dirayu menyertai UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganjuran acara sekolah bermotifkan UMNO yang dirasmikan oleh Adnan di sekolah itu telah mengundang pelbagai kritikan dari banyak pihak.

Majlis pertandingan menghias sekolah bertemakan kemerdekaan itu dilihat menjadi majlis menyebarkan dakyah UMNO apabila bendera parti itu dikibarkan selain laungan slogan ‘Hidup UMNO’ dan nyanyian lagu rasmi parti tersebut.

Persoalannya, adakah program berbentuk kepartian di premis milik kerajaan melibatkan penjawat awam di sekolah adalah dibenarkan dan tidak tertakluk kepada mana-mana peraturan perkhidmatan awam?

Kit Siang berkata, sebagai Menteri Pendidikan, Mahdzir bukan sahaja perlu menuntut permohonan maaf dari Adnan tetapi juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar mengambil tindakan terhadap Setiausaha Agung UMNO itu dengan memindahkannya kepada kementerian lain atau dikeluarkan dari senarai kabinet.

Atau, adakah semuanya membisu kerana takut dengan jawatan Setiausaha Agung UMNO yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang disandang Adnan soalnya lagi.

“Mungkin mereka berfikir Tengku Adnan bukanlah orang yang patut disinggung dalam tempoh terdekat ini memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pun hampir tiba – jadi, semua nak jaga peluang masing-masing jadi calon pilihanraya.

“Saya juga terfikir, mungkinkan tindak tanduk UMNO di sekolah tersebut semuanya disebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menjadi calon di Putrajaya atau di Langkali pada PRU14 nanti?” soalnya lagi. – Roketkini.com