Berita

‘Bolehkah guru sertai DAP?’ soal Kit Siang kepada KSN

GELANG PATAH, 5 OKT: Pendirian Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa terhadap tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyeru agar guru menyertai UMNO dalam acara sekolah amat mengejutkan.

Ali Hamsa seperti dilaporkan Free Malaysia Today menjawab ringkas apabila ditanya mengenai perkara berkenaan: “Saya tiada masalah dalam hal itu.”

“Mungkinkah Ali akan berkata bahawa guru-guru boleh menyertai DAP dan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) lain?” soal Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan, hari ini.

“Jika tidak, bolehkah KSN ke-13 itu menunjuk bahagian mana Perintah Am (perkhidmatan awam) yang menyatakan bahawa guru boleh menyertai UMNO tetapi bukan DAP atau parti komponen HARAPAN yang lain?

“Berikan pencerahan, kerana Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada bulan Mac pernah berkata bahawa guru yang menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan harus meninggalkan kerjaya itu?”

Tengku Adnan dalam ucapan majlis penutup Hari Kemerdekaan di Sekolah Rendah Putrajaya Presint 14 (1) pada Selasa menggesa guru untuk menyertai UMNO.

Selain ucapan berbaur politik, majlis berkenaan turut dipenuhi dengan kibaran bendera UMNO, malah murid turut dipaksa supaya menyanyikan lagu parti itu dan melaungkan slogan “hidup UMNO”.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mengingatkan penjawat awam agar tidak tunduk terhadap tekanan politik daripada Perdana Menteri dan pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Penjawat awam harus menunjukkan kesetiaan kepada negara serta rakyat dan bukannya kepada parti politik,” tegasnya. – Roketkini.com