Berita

‘H’ adalah ‘general perang’ propaganda Najib

GELANG PATAH, 6 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau yakin akan kewujudan individu yang dirujuk sebagai “H” dan didakwa mengumpan Ketua Pemuda PPBM (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengkhianati partinya.

Menggelar “H” sebagai “jeneral perang” propaganda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Kit Siang percaya individu misteri itu sangat berpengaruh dan mempunyai kuasa besar melebihi peranan menteri dan pemimpin tertinggi dalam UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Adakah wujud individu ‘H’ yang merupakan orang kanan Najib, dan merupakan‘orang kuat’ dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO-BN walaupun kononnya tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan atau parti?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

“Sudah tentu, ‘H’ ini wujud, dia adalah ‘jeneral perang’ propaganda Najib, yang mana kebanyakan pemimpin UMNO-BN, termasuk menteri, terpaksa tunduk, sekaligus membuktikan betapa hebat pengaruh dan kuasanya dalam parti itu.”

Syed Saddiq yang terkenal sebagai jaguh debat Asia sebelum ini mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh orang kanan Najib yang dirujuk sebagai “H” untuk meninggalkan perjuangan PPBM dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford.

Beliau turut diugut dengan beberapa keping “gambar sensitif” yang akan disebarkan jika identiti orang yang menyogoknya didedahkan dan tawaran habuan itu ditolak.

Susulan itu, Saddiq membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan kelmarin. Menurut laporan media, beliau juga telah disoal siasat pihak polis semalam. – Roketkini.com