Berita

Kerajaan pusat digesa tunai janji selesai masalah air di Johor

JOHOR BAHRU, 6 OKT: Kerajaan Persekutuan diingatkan agar tidak bersikap acuh tak acuh dalam menangani masalah bekalan air di negeri Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin turut mengingatkan kerajaan agar tidak sekadar mengulangi janji lama dan menunjukkan komitmen penuh bagi mengatasi masalah itu.

Beliau merujuk kenyataan terbaru kerajaan yang kononnya bersedia untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Negara dalam sesi Parlimen akan datang.

Katanya, kesediaan yang sama pernah ditunjukkan kerajaan sebelum sesi Parlimen pada Jun 2016 bermula.

Namun, sehingga kini RUU yang dilihat mampu menyelesaikan masalah air di negeri itu masih tidak dibentangkan, tambahnya.

“Kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO-Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya jangan hanya pandai menanam tebu di bibir.

“Mereka perlu bersungguh-sungguh melaksanakan dasar-dasar yang dapat memanfaatkan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Jurucakap Air DAP Johor turut menegaskan bahawa undang-undang yang hebat tidak menjamin kepentingan rakyat terpelihara jika penguatkuasaan lemah.

“Contohnya, Enakmen Air 1921 Johor telah dipinda Dewan Negeri Johor pada Jun 2014 untuk memberi kuasa yang lebih menyeluruh kepada pihak berkuasa negeri dalam memelihara dan memulihara sumber air di Johor.  

“Tiga tahun telah berlalu dan kerja penguatkuasaan berdasarkan Enakmen yang dipinda masih dilihat lemah dan tidak berkesan,” ujarnya.

Katanya, masalah pencerobohan haram dan kemusnahan kawasan tadahan air telah merosakkan fungsi empangan air di negara ini.

“Akibatnya apabila musim kemarau berpanjangan paras air menurun dengan mendadak dan rakyat terpaksa menghadapi catuan air,” katanya.

Masalah itu dapat dilihat jelas di kawasan tadahan Empangan Sembrong dan Empangan Machap, ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor.

“Kedua-duanya diketahui umum mengalami masalah pencerobohan yang serius.

“Hampir setiap tahun penduduk di sekitar daerah Kluang dilanda masalah gangguan bekalan air sehingga berbulan-bulan kerana kedua-dua empangan tersebut tidak berfungsi seperti biasa,” katanya.

Selain itu, katanya, air terawat yang dibekalkan kepada pengguna harus melalui kawalan yang sempurna bagi menjamin kualitinya.

“Tiada gunanya rakyat membayar bil air tetapi terpaksa berhadapan dengan air paip yang bermacam-macam warna setiap kali membuka pili air,” katanya. – Roketkini.com