Rencana

Malaysia Milik Rakyat Malaysia vs Malaysia Milik PAS

Saya tidak terkejut apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS  menolak Malaysian Malaysia, yang menjadi slogan DAP, sambil berpaut kepada alasan  ‘kontrak sosial’ yang samar-samar, seperti dilaporkan Malaysiakini. Ini kerana sememangnya wajah sebenar PAS kian terserlah semenjak PAS meninggalkan pakatan Pembangkang dan mula bekerjasama (taawun) dengan UMNO.

Malaysian Malaysia atau dalam bahasa Melayunya, “Malaysia Milik Rakyat Malaysia” menjadi teras perjuangan DAP dan peringatan berterusan bahawa negara ini milik kita bersama. Kita mungkin berbeza dalam banyak perkara baik budaya, latar belakang, kedudukan ekonomi dan lain-lain. Namun kita disatukan dengan kecintaan dan keterikatan kita kepada tanah air ini. Penekanan terhadap kita sebagai rakyat Malaysia dan negara ini adalah milik kita bersama.

Kesedaran bahawa Malaysia Milik Rakyat Malaysia tentulah lebih releven hari ini, apabila kekayaan negara semakin terhakis dari menjadi milik rakyat Malaysia secara umum, sebaliknya dibolot hanya sekumpulan kecil mereka yang ada kedudukan. Lihat saja bagaimana kekayaan negara boleh pusing ke serata dunia, dibolot oleh kroni-kroni terdekat MO1 seperti apa yang berlaku dengan 1MDB.

Saya melihat, kebencian PAS terhadap ide Malaysia Milik Rakyat Malaysia ialah disebabkan PAS mahu Malaysia menjadi milik PAS semata-mata, atau gagasan Malaysia Milik PAS. Keinginan ini sudah tentu berasaskan kepercayaan bahawa mereka wajib memaksakan Islam Politik versi mereka ke atas semua rakyat Malaysia. Seraya menyekat apa saja kepercayaan-kepercayaan yang dilihat tidak sehaluan dengan mereka. Atau sesiapa saja yang berbeza dengan mereka.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana gagasan Malaysia Milik PAS, melalui tindakan seperti ‘Amanat Haji Hadi’, cuba memaksakan kepercayaan mereka ke atas orang lain dan telah mewujudkan budaya kafir mengkafir sesama umat Islam dan perpecahan yang meruncing. Keluar dari arus utama pembangkang di Malaysia yang mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia, PAS perlu mula menyerang ide Malaysia Milik Rakyat Malaysia sekarang atas keterdesakan untuk menjadikan Malaysia Milik PAS.

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk membuat pilihan bijak, sama ada mahu mewujudkan Malaysia milik kita bersama sebagai satu keluarga, yakni Malaysia Milik Rakyat Malaysia. Atau Malaysia milik sekumpulan orang yang hanya hidup di kalangan mereka dan merasakan diri mereka saja yang bagus, yakni Malaysia Milik PAS. – Roketkini.com

*Edry Faizal merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor merangkap Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang