Berita

DAP sumbang bantuan kepada rumah anak-anak yatim, kurang berkemampuan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: DAP hari ini menyampaikan bantuan khas sempena perayaan Deepavali kepada dua rumah kebajikan anak-anak yatim dan kurang berkemampuan.

Bantuan berbentuk barangan keperluan dan kewangan berjumlah RM2,500 masing-masing itu disampaikan kepada Pertubuhan Kebajikan Thangam Illam (Pandan Indah) dan Rumah Kebajikan Anbu Illam (Taman Permata, Ulu Klang).

Kedua-dua rumah kebajikan terbabit menjadi tempat berteduh bagi 26 dan 30 kanak-kanak yang memerlukan.

Bantuan yang disampaikan Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras) itu adalah hasil sumbangan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Adun Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman (Exco Selangor) dan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Ketika berucap, Charles berharap bantuan yang disumbangkan ini memberi keringanan kepada rumah kebajikan tersebut.

“Jadi sumbangan ini dibuat tepat pada masanya, sempena perayaan Deepavali dan sebagai sumbangan terhadap kebajikan komuniti India yang memerlukan,” katanya di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan di sini, hari ini.

Menzahirkan penghargaannya, penyelaras Rumah Kebajikan Thangam Illam, Saseikala berkata ini kali pertama pihaknya menerima sumbangan dari parti politik.

“Kami amat-amat berterima kasih dan menghargainya,” katanya.

Penyelaras Rumah Kebajikan Anbu Illam, K. Selvam menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas bantuan yang diberikan sewaktu tibanya musim perayaan. – Roketkini.com