Berita

SPRM perlu siasat menteri UMNO ‘bantu’ doktor gigi palsu

GEORGE TOWN, 11 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat pemimpin UMNO berpangkat menteri yang didakwa menggunakan kedudukannya bagi membantu meringankan hukuman yang dikenakan terhadap seorang doktor gigi palsu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, dia harus disiasat seperti mana seorang Exco yang ditahan dan disiasat badan itu ekoran meminta agar tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah kilang tidak berlesen di Pulau Pinang ditangguhkan.

“Jika Phee (Boon Poh) direman dan disiasat kerana mengeluarkan dua surat permohonan atas kapastinya sebagai wakil rakyat, tidak ada sebab (Datuk Seri Dr) Hilmi (Yahaya) dikecualikan daripada ditahan kerana menyampai surat rayuan seorang doktor gigi palsu kepada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hilmi yang merupakan Timbalan Menteri Kesihatan menafikan bahawa beliau mengenali pengusaha klinik pergigian swasta tanpa lesen, Nur Farahanis Ezatty Adli.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu bagaimanapun mengaku pernah bertemu rakan kepada Nur Farhanis bagi membantu meringankan tindakan terhadap doktor gigi palsu itu.

“Sebagai ahli Parlimen, saya ingin membantu dengan membincangkan kes itu dengan pengarah (kesihatan), sama ada ruang untuk hanya dikenakan kompaun, memandangkan ia kesalahan pertamanya.

“Namun, saya diberitahu kes tersebut sudah dibawa ke mahkamah. Apabila menjadi kes mahkamah, maka saya tidak mampu lagi untuk membantunya,” kata Hilmi memetik laporan media.

Nur Farhanis dijatuhi hukuman denda sebanyak RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka pada 29 September lepas selepas mengaku bersalah menjalankan klinik pergigian swasta tanpa pendaftaran yang sah.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, SPRM harus mengambil tindakan tegas terhadap Hilmi bagi membuktikan bahawa badan itu bertindak secara adil dan profesional terhadap semua ahli politik.

“Kegagalan menahan Hilmi untuk disiasat, seperti mana yang dilakukan SPRM terhadap Phee Boon Poh, boleh menimbulkan kesangsian dwi-standard yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kredibiliti SPRM,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Phee sebelum ini ditahan reman secara tidak sah selama tiga hari oleh SPRM ekoran menulis surat permohonan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menangguhkan tindakan perobohan ke atas sebuah kilang tidak berlesen. – Roketkini.com