Berita

Peserta himpunan Sayangi Malaysia sedih situasi ekonomi negara lembab

PETALING JAYA, 16 OKT: Situasi ekonomi negara yang kurang memberangsangkan antara sebab Dr Salmi Said, 51, turut serta dalam perhimpunan anti-kleptokrasi Sabtu lalu.

Beliau merupakan seorang doktor pergigian yang telah mengusahakan klinik persendiriannya selama 20 tahun di Kedah.

“Paling penting sebab kita tak mahu lagi pemimpin kleptokrasi sebab negara kita makin teruk, sangat teruk.

“Kita datang sini sebab nak tunjukkan yang kita memang tak mau lagi pemimpin macam ini,” katanya ketika ditemui Roketkini.

Menurut Dr Salmi yang juga Naib Pengerusi 2 AMANAH Kedah, suasana lembab ekonomi negara telah menjejaskan ekonomi rakyat secara langsung.

“Isu utamanya sekarang ialah isu ekonomi,” tegasnya.

Kelembapan ekonomi negara itu katanya dapat dilihat apabila rakyat terpaksa mengurangkan perbelanjaan mereka.

“Memang terasa, pesakit yang datang makin kurang.

“Klinik swasta, kosnya lebih tinggi. Orang tak datang sebab makin kurang mampu,” katanya lagi.

Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi berjaya dilangsungkan tanpa sebarang insiden tidak diingini meski wujud elemen provokasi pihak luar.

Himpunan ala-karnival itu bertujuan memberi kefahaman dan maklumat kepada rakyat mengenai skandal ‘kehilangan’ puluhan bilon 1MDB melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Roketkini.com