Rencana

Sekitar Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi

Jam empat petang orang ramai sudah mula membanjiri Taman Jaya di Petaling Jaya. Gerai-gerai sudah memulakan operasi. Aktiviti jual beli menjadi semakin rancak, not ringgit bertukar tangan.

Selang beberapa minit selepas itu, diumumkan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad akan tiba untuk mengisi kerusi yang kosong di atas pentas. Kehadirannya pada petang itu hanya untuk meninjau suasana, sebelum kembali lagi pada sesi sebelah malam. Sesi petang itu dipenuhi dengan ucapan daripada pemimpin muda HARAPAN.

Mendengar ketibaan Dr Mahathir orang ramai yang tadinya berkumpul di serata padang mulai merapat di hadapan pentas. Cuaca yang kian membahang tidak menghalang mereka daripada meninggalkan tempat berteduh demi melihat dengan lebih rapat tokoh negarawan itu.

Daripada pandangan rambang, bahagian hadapan pentas yang sebentar tadi kosong kini dipenuhi dengan orang dewasa dan warga tua berbanding orang muda. Maka, benarlah analisis sesetengah pihak yang mengatakan himpunan ala festival yang diberi nama ‘Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ itu kurang berjaya menarik minat golongan muda untuk menghadirkan diri ke sana.

Namun, yang menjadi persoalan; adakah benar dakwaan bahawa orang muda tidak lagi menyokong pembangkang dengan menjadikan jumlah kehadiran golongan itu di perhimpunan tersebut sebagai kayu ukuran?

Media sosial

Generasi Z dan millennial adalah golongan yang amat sinonim dengan teknologi. Seperti seorang askar dengan senapangnya, begitu juga dengan anak muda dengan telefon pintarnya, kelihatan canggung jika tidak kelihatan gajet itu di telapak tangan mereka.

Mereka akan memilih tempat selesa untuk berkongsi cerita di laman-laman sosial. Sambil menghirup kopi panas atau sejuk, mereka kemudiannya akan memotretkan momen-momen berkenaan untuk dimuatnaik ke laman sosial pilihan mereka.

Bagi mereka, segalanya di hujung jari. Maklumat hanya perlu diklik. Semuanya dipaparkan di muka skrin telefon pintar, hanya tinggal untuk dibaca dan dihadam sepintas lalu.

Maka dengan ini, bolehlah dikatakan bahawa golongan muda cenderung untuk mempergunakan teknologi secara sehabis baik.

‘Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ yang berlangsung pada Sabtu lepas turut boleh ditonton secara langsung di atas talian. Mengikut laman Facebook rasmi DAP, seramai 101,000 telah menonton siaran langsung berkenaan. Ia turut dikongsi oleh 1,159 pengguna dan menerima tanda like sebanyak 4,500.

Walaupun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar orang muda yang menonton siaran langsung berkenaan, mengambil kira golongan itu yang lebih terdedah kepada teknologi, kesimpulan boleh dibuat bahawa orang muda mungkin memilih medium atas talian sebagai cara untuk mengikuti perhimpunan tersebut. Mereka sekaligus sebenarnya telah menyatakan sokongan, meskipun secara tidak langsung.

Pilihan raya semakin hampir

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya. Pemerhati menjangkakan Najib akan membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2018 pada hujung Oktober ini. Namun, ada pandangan kurang popular yang mengatakan bahawa pilihan raya akan berlaku pada Mac tahun hadapan.

Bila pun tarikhnya, penulis yakin bahawa rakyat sudah memahami sebaiknya isu yang ingin disampaikan pihak pembangkang mengenai skandal mega 1MDB, FELDA dan sebagainya. Malah, tinjauan di perhimpunan tersebut mendapati rata-rata peserta cakna akan isu semasa yang melanda negara.

Pendek kata, pilihan sudah ada di tangan mereka, hanya menunggu untuk dibuang di peti undi.

Justeru, ia boleh menjawab sedikit sebanyak kritikan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa penganjur gagal mencapai jumlah sasaran sebanyak 30,000 peserta sebelum ini.

Kleptokrasi

Ada juga pihak yang cuba menyalahkan penggunaan kata kleptokrasi yang dianggap sukar untuk difahami warga tua dan kononnya terbelit lidah untuk menyebutnya. Sehingga ada pihak yang mengubahnya kepada istilah “klepet” (bahasa pasar bagi “curi”) untuk memahamkan golongan yang lebih berusia.

Secara amnya, negara yang disebut sebagai negara kleptokrasi dipimpin oleh seorang pencuri yang berpura-pura menyamar sebagai seorang penjawat awam yang suci lagi bersih daripada sebarang kesalahan rasuah.

Perkataan ini popular selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengeluarkan saman sivil bagi menyita semua aset yang dibeli melalui hasil wang curi daripada syarikat milik penuh negara, 1MDB.

Pandangan yang mengatakan bahawa orang tua atau orang yang tinggal di luar bandar tidak memahami apa itu kleptokrasi kendengaran seolah-olah merendah-rendahkan kemampuan mereka untuk memahami isu semasa atau mempelajari sesuatu yang baru.

Ironinya, kehadiran orang tua yang mengatasi orang muda di perhimpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ itu sebenarnya menunjukkan bahawa golongan itu faham apa itu kleptokrasi setelah pelbagai usaha dilakukan pihak HARAPAN melalui siri ceramah bagi memberi pencerahan kepada orang ramai mengenainya.

‘Bersatu kita teguh, bercerai Najib menang’

Malam semakin larut, hujan yang dijangka turun pada hari itu seakan-akan segan untuk berbuat demikian melihatkan kepada jumlah peserta yang semakin ramai memenuhi ruang Padang Timur.

Padang yang selalunya kelihatan hijau, kini bertukar merah. Dari atas pentas, ia kelihatan seperti bara api yang menjadi manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan (baca: rejim) UMNO-Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib Razak.

Orang ramai semakin rapat ke hadapan pentas apabila pengacara majlis mengumumkan bahawa Tun Mahathir, yang dinanti-nantikan ramai peserta, akan berucap.

Dalam usia yang menghampiri seabad, beliau yang pernah digelar musuhnya dengan pelbagai celaan masih mampu berdiri menyampaikan hujahnya yang jarang tidak sinikal dan membikin orang ketawa.

Walaupun terkadang ucapannya dirasakan meleret, ia tidak pernah kurang dengan jenaka memerli dan punch line yang memikat. Jarang sekali apa yang terbit dari mulut dan tertulis dari jari jemari beliau tidak mendapat perhatian pihak media.

‘Bersatu kita teguh, bercerai Najib menang’ antara kata-kata spontan yang lahir dari mulut Tun Mahathir sehingga mengundang tawa peserta dan pemimpin HARAPAN. Walaupun disampaikan dalam getar suara berseloroh, ia membawa mesej yang kuat, sekurang-kurangnya kepada situasi politik masa kini.

Tun Mahathir percaya, hanya dengan kesepaduan antara parti-parti pembangkang dapat menumbangkan Najib dan pengikutnya dalam pilihan raya akan datang. Namun, ada parti pembangkang yang membawa dasar “politik matang dan sejahtera” enggan berdiri bersama-sama kepimpinan HARAPAN untuk melawan kezaliman kerajaan, sebaliknya memilih nada yang serupa dengan UMNO dalam mempromosikan politik sempit perkauman dan menggunakan modal agama bagi meraih sokongan.

Justeru, HARAPAN sebagai gabungan pembangkang yang jelas dalam perjuangannya harus mengambil iktibar daripada pepatah yang diubah suai Tun Mahathir itu dengan bersatu dan fokus dalam melawan ketidakadilan kerajaan, bukan hanya sekadar mengkritik setiap hari melalui kenyataan media namun mengeluarkan sarana-sarana yang bernas demi kemajuan negara dan rakyat. – Roketkini.com