Rencana

Khaled Nordin keliru identiti

Dalam dua pandangan saya yang terdahulu, saya memberi fokus kepada isu seni Kuda Kepang atau Reog yang diharamkan di Johor. Yang terakhir saya tulis surat terbuka kepada Yayasan Warisan Johor agar mereka menyemak kembali peranan seni tradisi ini.

Diakhir surat itu saya petik ‘bangsa yang gagal adalah bangsa yang tidak memelihara kebudayaannya’. Sungguhpun ia bersifat hipotesis, tetapi ia mungkin sudah dapat justifikasinya.

Pertama, rata-rata daripada pembaca, tidak dapat mengunyah pandangan ini dengan waras. Mereka memilih untuk melihat isu ini sebagai isu ‘agama’ – kepercayaan, akidah dan khurafat.

Saya rasa pemikiran agama sebegini didorong oleh rasa tidak yakin dan tidak faham. Ini seakan ada persamaan dengan pemikiran ‘Ustaz Zamihan’ yang sering memandang negatif sesuatu perkara yang dianggap berselisih dengan cara Islam menurut fahamnya, maka pandangan itu tidak akan dilayan dengan adil.

Kedua, rata-rata pembaca membaca teks tanpa konteks, apatah lagi membaca asas pandangan saya. Maka pandangan saya ini dinilai berdasarkan keahlian saya bersama parti DAP.

Mereka tidak dapat membaca betapa pentingnya memelihara khazanah kebudayaan, ia sama dengan memelihara khazanah alam, laut, bukit dan hasil perut bumi kita. Seakan kita sudah tiada ‘sense of belonging’. Kerana itu saya kata, hipotesis saya ini ada dijustifikasinya.

Yang haram jadi halal

Baru-baru ini, lebih tepat pada 17 Oktober 2017, Menteri Besar Johor, Khaled Nordin dalam satu status laman Facebook telah memuat naik satu gambaran visual reka bentuk konsep stesen Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang dikatakan sebagai ‘mencerminkan identiti dan warisan Malaysia namun pada masa sama moden dan futuristik’.

Visual tersebut adalah gambaran reka bentuk fizikal bangunan stesen rel. Gambaran visual ini juga adalah gambaran pemikiran dan kefahaman beliau terhadap ‘kemajuan’ dan ‘warisan kebudayaan’.

Bagi saya, status ini cukup konflik. Konflik yang mewakili krisis identiti Khaled Nordin yang tidak pasti mahu menjadi apa dan mewakili apa.

Menteri Besar Johor ini menyifatkan Kuda Kepang adalah sebahagian daripada warisan budaya rakyat (Johor-Malaysia) yang harus diangkat menjadi simbol kebanggaan rakyat.

Namun yang peliknya, kerajaan Khaled Nordin tidak sanggup mempertahan dan memelihara warisan kebudayaan ini dengan membiarkan ianya terus diharamkan di khalayak rakyat.

Ironi sekali Khaled Nordin ini, kuda kepang yang diharamkan ini diangkat menjadi motif konsep stesen rel keretapi!

Alasan mengharamkan kuda kepang dikatakan akan merosakkan akidah umat Islam, tetapi motif kuda kepang yang haram inilah yang diangkat menjadi batu simen bangunan yang tersergam besar. Ini mirip kepada konsep pemikiran berhala zaman ‘Johor Berkemajuan’.

Mungkin stesen Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura di Batu Pahat ini perlu disahkan status halalnya terlebih dahulu oleh orang agama UMNO sebelum kerajaan membinanya, takut-takut bangunan ini boleh merosakkan akidah umat Islam di Batu Pahat.

UMNO yang kelakar

Jika saya pelancong yang menaiki kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura dan singgah melawat Batu Pahat, saya cuma boleh melihat motif replika kuda kepang. Saya mungkin akan berswafoto, berlatar belakangkan bangunan replika kuda kepang itu.

Tetapi saya sebagai pelancong tidak dapat singgah melancong sambil makan-makan, menonton dan menikmati permainan kuda kepang, tidak dapat melihat seni warisan dan estetika bangsa ini. Semua ini telah tiada dan dijadikan muzium oleh parti yang dikatakan memperjuangkan bangsa itu.

Akhirnya, tujuan membina bangunan replika kuda kepang yang dibanggakan ini jauh tersasar. Tidak ada apa-apa tarikan di Batu Pahat untuk disinggahi oleh pelancong. Jadi bagaimana pertumbuhan ekonomi di Batu Pahat boleh dipacu? Bukankah ini kelakar.

UMNO khususnya di Johor membawa pemikiran yang tidak pasti, tidak jelas dan mengelirukan samada mahu jadi bangsa yang ‘berkemajuan’ atau bangsa yang ‘berkebudayaan’.

Akhir kalam, saya ingin mengolah kembali kata-kata saya, masyarakat yang mundur adalah masyarakat yang keliru dengan budaya dan identitinya. Kekeliruan ini akan dizahirkan oleh Khaled Nordin dalam sistem ketelusan pentadbiran serta kejituan terhadap dasar-dasar kepada rakyatnya.

Kita sebagai rakyat, baik Bugis, Banjar, Jawa di Johor tidak boleh lagi dikelirukan antara pemerintah yang beria-ia memerangi korupsi tetapi pada masa yang sama, kerajaan itu jugalah yang melindungi perasuah dan pencuri.

Kerajaan Khaled Nordin ini sangat mengelirukan. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik Johor