Berita

DAPSY tuntut kerajaan tambah peruntukan pengajian tinggi 20 peratus

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sosialis Muda DAP (DAPSY) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya meningkatkan peruntukan sektor pengajian tinggi sebanyak 20 peratus dalam Belanjawan 2018 yang akan dibentang pada Jumaat nanti.

Menurut Pengarah Biro Hal-Ehwal Universiti dan Kolej Universiti DAPSY, Leong Yu Sheng tindakan pemotongan peruntukan bagi sektor itu dalam Belanjawan yang lepas telah memberi banyak kesan kepada kualiti pengajian tinggi di negara ini.

Sebagai contoh, katanya, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) sebelum ini mendedahkan bahawa lebih 6,000 pensyarah di universiti awam telah diberhentikan kerja atau kontrak tidak disambungkan berikutan pemotongan bajet.

“Ini menyebabkan pensyarah yang kekal berkhidmat terpaksa memikul bebanan tugas yang banyak ekoran kekurangan tenaga pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil pemotongan peruntukan pengajian tinggi juga telah menyebabkan tawaran biasiswa MyBrain15 kepada penuntut lepasan ijazah semakin berkurangan.

Pengarah Biro Hal-Ehwal Universiti dan Kolej Universiti DAPSY, Leong Yu Sheng

“Ramai pelajar tidak berjaya untuk mendapatkan biasiswa berkenaan yang mana dapat menampung 80 peratus pembelanjaan pengajian mereka.

“Manakala mereka yang berjaya mendapatkan biasiswa itu hanya menerima elaun bulanan sebanyak RM1,800 berbanding RM2,300 sebelumnya,” ujarnya sambil menambah ada sesetengah pelajar yang terpaksa bekerja sambilan bagi menampung pembelanjaan mereka.

Katanya lagi, dengan pemberhentian ramai pensyarah dan tawaran biasiswa yang kurang akan menyebabkan kualiti penyelidikan di universiti awam turut terjejas.

“Tanpa suasana penyelidikan yang kondusif bagi memacu pengetahuan adalah sukar untuk mencapai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencapai jumlah 60,000 pemegang ijazah kedoktoran (PhD) menjelang 2023,” ujarnya.

Dalam Belanjawan 2017 yang lepas, kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) telah mengurangkan peruntukan sektor pengajian tinggi sebanyak 19.23 peratus meskipun mendapat tentangan daripada Majlis Profesor Negara (MPN). – Roketkini.com