Berita

Ketua Pesuruhjaya SPRM digesa jawab persoalan ‘video Bali’

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad diminta membuat penjelasan adakah beliau individu yang terakam dalam beberapa klip ‘video Bali’ yang tular baru-baru ini.

Gesaan yang dibuat Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo itu katanya bertujuan supaya spekulasi awam terhadap individu lelaki dalam klip video terbabit dihentikan demi menjaga kewibawaan agensi anti-rasuah terbabit.

“Jika bukan, saya menggesa beliau untuk menyatakan secara terbuka,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ketua Biro Undang-Undang DAP itu berkata, penjelasan itu amat penting memandangkan Dzulkifli memegang jawatan tertinggi dalam agensi anti-rasuah negara.

“Polis Di Raja Malaysia atau agensi penyiasatan lain perlu menyedari bahawa imej dan wibawa agens mereka tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Ia demi memastikan keyakinan orang awam terpelihara,” kata Gobind menegaskan bahawa sikap berdiam diri indicidu terbabit bukanlah pilihan.

“Pegawai-pegawai ini perlu memberi maklumbalas,” ujarnya.

Menurutnya, polis tidak boleh melengah-lengahkan siasatan mereka dan perlu mengenal pasti fakta demi kepentingan pihak yang terlibat dalam penyiasatan itu khususnya SPRM sendiri.

“Saya membuat gesaan ini sebagai seorang Ahli Parlimen kerana SPRM merupakan agensi yang tertubuh hasil penggubalan undang-undang setelah Akta Pencegahan Rasuah diluluskan di Parlimen pada 2009,” jelasnya.

Antara prinsip utama penubuhannya kata Gobind antara lain untuk menggalak dan mempromosi integriti serta ketelusan sektor pentadbiran awam dan swasta selain mendidik pihak berkuasa, pegawai-pegawai kerajaan mengenai rasuah dan kesannya kepada sektor awam dan swasta.

“Adalah jelas Parlimen menguatkuasakan akta tersebut dan mewujudkan SPRM dengan tujuan untuk menggalakkan integriti dan ketelusan dalam badan-badan awam serta swasta.

“Ia sekaligus menuntut para pegawainya khususnya ketua, memimpin melalui teladan.

“Sekali lagi saya menyeru Tan Sri Dzulkifli supaya membuat penjelasan. Adakah anda individu dalam klip video itu?” soalnya lagi. – Roketkini.com