Berita

Tutup skandal mega, Speaker tolak lagi soalan tentang 1MDB

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menzahirkan rasa kesal dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak soalan berhubung pembayaran 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Beliau dalam pertanyaan jawab lisan tersebut meminta Menteri Kewangan supaya menyatakan sama ada 1MDB telah membayar lebih AS$600 juta kepada IPIC pada Ogos 2017 dan sama ada Kementerian Kewangan membantu membiayai pembayaran itu.

“Pun begitu, saya menerima surat penolakan daripada Speaker yang mendakwa soalan itu kononnya tidak boleh dijawab atas alasan subjudis memandangkan ia kononnya adalah ‘perkara yang dalam timbangan Mahkamah’.

“Namun, pembayaran berkenaan yang merupakan penyelesaian yang telah dipersetujui (1MDB) dengan IPIC tidak ada kena mengenai dengan mahkamah, sama ada di Malaysia mahupun di serata dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP, rakyat Malaysia berhak tahu mengenai pembayaran tersebut jika benar Kementerian Kewangn ada membantu 1MDB menyelesaikan hutangnya itu.

“Malah, keengganan (kerajaan) untuk memberi maklum balas mengenai persoalan ini mengesahkan desas desus bahawa Kementerian Kewangan ada mengeluarkan dana kecemasan lebih RM2.5 bilion bagi menyelamatkan 1MDB pada Ogos tahun ini,” ujarnya.

Kerajaan dilaporkan membayar sejumlah AS$602.75 juta (RM2.58 bilion) hutang kepada IPIC pada Ogos tahun ini.

Jumlah bayaran tersebut adalah separuh daripada jumlah keseluruhan hutang kerajaan kepada IPIC iaitu AS$1.2 bilion – yang terkumpul akibat daripada skandal membabitkan firma pelaburan negara, 1MDB – setelah penyelesaian dicapai kedua-dua belah pihak pada 24 April lepas. – Roketkini.com