Berita

‘Saya harap PM tiru belanjawan HARAPAN demi kepentingan rakyat’

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berharap kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) dapat mengambil iktibar daripada Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan Pakatan Harapan hari ini.

Beliau yang juga ahli Pasukan Petugas Belanjawan Alternatif 2018 turut berharap UMNO-BN dapat ‘meniru’ intipati belanjawan tersebut demi kepentingan rakyat.

“Tidak mengapa (untuk mereka tiru Belanjawan Alternatif Harapan).

“Beri kredit kepada mereka kerana akhirnya ia semua akan dirasai oleh rakyat dan untuk kepentingan mereka.

“Tapi saya tahulah, (Datuk Seri) Najib Razak tak akan tiru, sebab mereka tak akan mahu hapuskan GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” katanya dalam wawancara bersama Roketkini di bangunan Parlimen.

HARAPAN dalam belanjawan tersebut berikrar untuk menghapuskan GST dan mengguna pakai semula sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).

Namun, masalah timbul apabila kutipan SST yang dianggarkan berjumlah RM16 bilion adalah kurang jika dibandingkan dengan kutipan GST iaitu RM42 bilion pada tahun lepas.

“Jadi persoalanya adalah bagaimana kita mampu mengatasi perbezaan antara kutipan GST dan SST.

“Jawapan kami adalah dengan cara mengurangkan rasuah dan perbelanjaan yang tidak perlu. Tumpuan akan diberikan kepada peruntukan Jabatan Perdana Menteri. Daripada kementerian itu kita akan potong (peruntukan) sebanyak RM12 bilion.

“Pada masa yang sama kita akan potong daripada kementerian yang lain dari segi pengurangan rasuah,” ujarnya. – Roketkini.com