Berita

30 tahun Ops Lalang, Kit Siang seru rakyat bersatu selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Rakyat Malaysia diseru bersatu padu demi menyelamatkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang di tanah air, selain melenyapkan budaya rasuah dan kleptokrasi sempena ulangtahun ke-30 Ops Lalang.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang membuat seruan tersebut ketika mengimbau kembali kenangan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1987.

“Ops Lalang hampir membawa demokrasi Malaysia yang sudah memang rapuh, menuju ke arah kehancuran.

“Namun demokrasi Malaysia sedang berdepan satu lagi krisis, yang ditambah dengan status kleptokrasi global di mata dunia,” ujar beliau dalam kenyataan di Parlimen.

Menurutnya, negara masih belum cukup syarat bahkan untuk mengakui ia mengamalkan demokrasi normal; apatah lagi demokrasi terbaik dunia.

Kit Siang mengulas janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia demokrasi terbaik dunia. Namun ternyata itu tidak pun kelihatan meski sudah lapan tahun Najib Razak berkhidmat sebagai ketua kerajaan.

“Hanya perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun, mampu memulihkan demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia serta menyelamatkan Malaysia,” jelas Kit Siang.

Ops Lalang yang berlangsung di bawah pentadbiran mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meletakkan 106 aktivis politik, kesatuan sekerja serta pendidik di bawah tahanan tanpa bicara.

16 daripadanya merupakan pimpinan parti DAP.

Bukan sahaja itu, tiga akhbar turut dihentikan operasinya di samping serangan ke atas institusi kehakiman pada waktu itu.

30 tahun selepas Ops Lalang, Tun Dr Mahathir kini menganggotai barisan pembangkang malah mempengerusikan Pakatan Harapan. – Roketkini.com