Berita

Didesak DAP, Dewan Rakyat siasat paparan logo BN selepas bentang belanjawan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kemunculan lambang dacing Barisan Nasional selepas pembentangan Belanjawan 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu menimbulkan tanda tanya.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto malah menggesa agar perkara tersebut disiasat.

“Selepas ucapan beliau lambang BN terpapar dalam skrin di Dewan Rakyat. Adakah tindakan ini wajar dan dibenarkan di dewan yang mulia ini?

“Saya memohon budi bicara agar siasatan diadakan untuk mengenalpasti bagaimana logo sebuah parti politik boleh ada dalam dewan semasa persidangan,” katanya.

Menurut beliau, itu adalah kali pertama logo BN terpampang di Dewan yang mulia itu.

“Ketika pembentangan perdana menteri mengungkapkan inisiatif dan insentif, bendera BN dipaparkan di skrin tersebut.

“Ia adalah belanjawan negara bukannya belanjawan BN.

“Adakah ini bererti BN sudah terdesak dan menggunakan apa sahaja cara untuk menunjukkan logo mereka kepada rakyat?” soalnya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Desakan supaya perkara itu disiasat dipersetujui Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said. – Roketkini.com