Berita

Jabatan Mineral dan Geosains yang beri lampu hijau projek Tanjung Bungah

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak memberi kelulusan untuk projek pembinaan di Lengkok Lembah Permai Tanjung Bungah ekoran lampu hijau yang diberikan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Penegasan itu dibuat sekali lagi oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai menjawab kenyataan kementerian tersebut yang menyalahkan kerajaan negeri ekoran tragedi tanah runtuh di kawasan pembinaan terbabit.

“Agak lucu apabila kementerian mengelak daripada hakikat bahawa agensi yang bertanggungjawab ke atas aktiviti perlombongan, termasuk kestabilan cerun dan tanah, adalah Jabatan Mineral dan Geosains.

“Jabatan ini yang telah memberi lampu hijau untuk projek terbabit dalam surat kepada pihak berkuasa tempatan pada 30 Disember 2014.

“Kerajaan Negeri bertindak atas nasihat pihak yang betul-betul berkuasa dalam hal kuari dan lereng bukit,” jelas Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP negeri.

Pihak kementerian itu juga dituntut untuk menjelaskan kenapa Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak membantah projek Kolej Tunku Abdul Rahman yang turut terletak berhampiran kawasan kejadian, malah jauh lebih dekat dengan kawasan kuari.

JAS, seperti juga JMG, adalah agensi di bawah Kementerian terbabit.

Dalam kenyataan semalam, Kementerian sekali lagi mendakwa kononnya bantahan JAS adalah ekoran cerun curam yang memerlukan kajian kejuruteraan lanjut. Padahal dalam surat JAS kepada pihak berkuasa tempatan, soal cerun langsung tidak timbul.

Sebenarnya kata Zairil, bantahan tersebut adalah kerana kedudukannya hampir dengan sebuah kuari granit.

11 jiwa terkorban dalam tragedi tanah runtuh di kawasan pembinaan rumah kos rendah minggu lalu.

Kerajaan Negeri telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri yang dipengerusikan mantan presiden Majlis Peguam, Datuk Yeoh yang Poh, bersama dua lagi jurutera geoteknik, Datuk Dr Gue See Saw dan Prof Dr Ramli Nasir.

Ia bertanggungjawab menyiasat punca kemalangan terbabit selain mengenalpasti pihak yang bertanggunghawab.

Sementara itu, pemaju projek terbabit telah dikenakan arahan berhenti kerja selain disenaraihitamkan, sementara menanti keputusan siasatan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak melepaskan tanggungjawab dalam insiden ini dan terus komited untuk mencari kebenaran dan memastikan tindakan yang sewajarnya diambil,” tegas Zairil. – Roketkini.com