Berita

Sukan SEA KL 2017: Artis tidak dibayar, kenapa menteri membisu?

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kecoh baru-baru ini apabila seorang artis mendakwa bahawa beliau masih tidak dibayar pihak penganjur selepas membuat persembahan di acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada dua bulan lepas.

Bukan sahaja artis berkenaan, sukarelawan yang juga bertungkus lumus demi menjayakan acara itu juga didakwa tidak diberikan habuan yang dijanjikan.

Menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan negara, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng justeru berkata, beliau bersedia memberi khidmat perundangan kepada mereka yang terjejas.

“Sekiranya pihak kerajaan masih melengah-lengahkan bayaran, sebagai seorang ahli parlimen saya bersedia untuk memberikan khidmat kepada mereka yang terjejas bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyanyi, Datuk Zainal Abidin seperti dilaporkan media Ahad lepas mendakwa bahawa beliau masih tidak dibayar oleh pihak penganjur selepas selesai melaksanakan tugas di acara penutup Sukan SEA KL 2017.

“Bukan menteri saja nak kehidupan mewah, kami golongan artis juga mahu kehidupan yang baik,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Walaupun perkara berkenaan tular di laman sosial, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sehingga kini masih membisu.

“Sikap agensi kerajaan tidak mengambil peduli untuk memastikan mereka yang berhak mendapat bayaran yang sepatutnya perlu dikecam keras.

“Menteri sewajarnya menggantung gaji pegawai bertanggungjawab sehingga semua bayaran dilangsaikan. Baru dia tahu bagaimana rasanya bekerja tanpa mendapat bayaran,” ujarnya. – Roketkini.com