Berita

Kem belum siap, tapi lebih seribu anggota tentera sudah didaftar sebagai pengundi

KUALA LUMPUR, 31 OKT: DAP Johor hari ini mendedahkan terdapat 1,051 anggota tentera didaftarkan sebagai pengundi di sebuah kem yang masih belum siap dibina di Segamat.

Adun Jemantah, Tan Chen Choon berkata, pendaftaran meragukan itu dikenalpasti selepas pihaknya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2017.

“Adakah ini satu manipulasi untuk memenangkan Barisan Nasional (BN)?” soalnya dalam sidang media di ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.

“Ini yang harus dijawab oleh Kementerian Pertahanan,” tegasnya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, pihaknya akan membuat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewat-lewatnya pada 6 November minggu hadapan.

“Jika (bantahan) tidak dibuat, pendaftaran tersebut akan diwartakan,” ujarnya.

Untuk rekod, bayaran sebanyak RM10 dikenakan oleh pihak SPR bagi setiap bantahan yang dibuat.

Manakala maksimum RM200 perlu dibayar kepada pihak yang kena bantah sekiranya bantahan tersebut dibuktikan tidak berasas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong menyeru agar semua rakyat Malaysia memberikan sumbangan bagi memudahkan proses bantahan tersebut.

“Isu ini adalah melibatkan kepentingan nasional dan corak ini dapat dilihat di mana-mana, seperti contoh kem tentera yang dibina hanya untuk pilihan raya semata-mata.

“Ini adalah kes yang terang-terang nampak salahnya, ada dua lagi kem di Johor yang mana diwujudkan khusus untuk tujuan pilihan raya,” ujar Pengerusi DAP Johor itu.

Beliau turut menggesa agar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat menjawab dakwaan tersebut.

“Adakah beliau ada maruah sebagai seorang ahli Parlimen? Adakah beliau begitu terdesak sehingga perlu bergantung dengan pengundi hantu untuk menang pilihan raya?” soalnya.

Dalam pada itu, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin turut menggesa agar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar tampil memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Adakah BN terlalu terdesak ingin mempertahankan kuasanya?

“Sebab kita tahu tentera berperanan untuk mempertahankan negara kita daripada anasir luar, tetapi sekarang apa yang dikesalkan adalah BN melalui Menteri Pertahanan telah menggunakan undi tentera untuk menyelamatkan tampuk kuasa mereka,” ujarnya. – Roketkini.com