Berita

‘Ibu segala bajet’ pinggir golongan wanita, ibu

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Adalah ironi apabila Belanjawan 2018 yang dihebahkan sebagai “Ibu segala Belanjawan” dilihat meminggirkan golongan wanita, sama ada yang bergelar ibu ataupun tidak, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Menurut beliau, dua program kesihatan bagi golongan wanita iaitu pemberian vaksin HPV dan mammogram percuma tidak dimasukkan dalam belanjawan yang dibentangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada Jumaat lepas.

“Pada 2014, program tersebut diberi peruntukan sebanyak RM20 juta. Pada 2015, jumlah itu dikurangkan sebanyak 90 peratus menjadikannya hanya berjumlah RM2 juta,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

“Pada 2016, tidak ada peruntukan langsung untuk program tersebut dan selepas rakan-rakan pembangkang membangkitkan isu itu di Parlimen, barulah Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjanji untuk mengembalikannya semula tanpa menyebut jumlah yang diperuntukan.

“Dalam Belanjawan 2017, saya membangkitkan mengenai pemberian vaksin HPV dan mammogram yang dibuang terus daripada dokumen Belanjawan walaupun (Datuk Seri) Najib Razak ada mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi program itu dalam ucapan Belanjawannya.

“Kini dalam Belanjawan 2018, program itu tidak muncul sama ada dalam Belanjawan mahupun dalam ucapan Belanjawan.”

Program mammogram secara percuma yang ditawarkan kerajaan sebelum ini, katanya telah membantu seramai 263,627 wanita mengesan kanser payudara di peringkat awal.

“Ini menunjukkan bahawa program mammogram adalah popular, sangat relevan dan telah membantu ramai wanita mengesani dan mencegah penyakit itu dengan lebih awal,” katanya.

Dengan penarikan balik peruntukan bagi program itu, katanya, hanya golongan ibu dan wanita di Pulau Pinang dan Selangor masih boleh menikmati pemberian pemberian vaksin HPV dan mammogram percuma.

“Najib umumkan Belanjawan yang berjumlah RM280.25 bilion tahun ini.

“Jika beliau kembalikan program pemberian vaksin HPV dan mammogram percuma dengan jumlah yang sama seperti 2014, ia hanya memberi kos sebanyak RM20 bilion atau 0.007 peratus daripada keseluruhan Belanjawan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang justeru menggesa agar Perdana Menteri mengembalikan semula program berkenaan jika kerajaan benar-benar komited ingin memastikan kesihatan wanita dan seluruh rakyat Malaysia terjamin. – Roketkini.com